Fikir jauh: Siapakah aku 20 tahun lagi?

PADA tahun ini, tahun 2020, saya berumur 34 tahun. Selepas 20 tahun, iaitu pada tahun 2040, saya berusia 54 tahun. Siapakah saya pada ketika itu?

Bagi menjawab soalan ini, ada beberapa kata-kata hikmah yang menjadi pedoman:

  1. Apa yang kita lakukan hari-hari, itulah yang menentukan siapa kita pada masa akan datang.
  2. Lihat siapa kita berkawan sekarang, kawan-kawan itu menggambarkan siapa kita akan datang.
  3. Masa lepas adalah kenangan, kita masih boleh mencipta kejayaan, biar apa pun sejarah dan latar belakang kita.
  4. Anak muda mampu lakukan apa sahaja, sekiranya mereka mahu.
  5. Untuk mendapatkan hasil (pada masa akan datang), saya perlu bertindak (sekarang).

Kita adalah penentu masa depan kita. Kita bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan. Kita perlu sedar, apa sahaja kita lakukan hari ini, akan memberi kesan kepada masa hadapan kita.

Sebagai contoh, jika hari ini kita mula ubah diri kita dengan meletakkan sasaran menghafaz sejumlah ayat Al-Quran setiap hari, dilengkapkan dengan murajaah hafazan, sudah tentu dalam satu tempoh, akhirnya kita akan berjaya menjadi hafiz Al-Quran. Biar sedikit, lama-lama habis 30 juzuk kita hafaz. Kuncinya ialah consistency.

Dalam simpanan kewangan, jika kita menyimpan RM1 setiap hari selama 1,000 hari, kita akan mendapat wang sebanyak RM1,000. Begitu juga dalam aspek kehidupan yang lain. Aspek dakwah dan tarbiyah, kesihatan, kewangan, keluarga, kerjaya dan sebagainya.

Oleh itu, masih belum terlambat untuk kita meletakkan sasaran bagi tempoh 20 tahun dalam pelbagai aspek kehidupan kita.

Selepas membuat sasaran, kita senaraikan pula apakah tindakan yang perlu kita lakukan, dan kita mula lakukannya hari ini juga.

Jom!

Mohd Firdaus Salleh Hudin
10.47 pagi
26 Oktober 2020
Bandar Baru Bangi
www.askfirdaus.com
www.carrentalampang.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *