Menulis Setiap Hari: Hari Kelima (Hari keempat tak sempat tulis)

Bismillah.
Segala syukur dipanjatkan kepada Allah Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad beserta ahli keluarga baginda, para sahabat dan pengikutnya.

Hari keempat tak sempat tulis

Semalam, ada beberapa perkara berlaku hingga menyebabkan saya tak sempat buka laptop untuk menulis. Pagi semalam, saya berlari 30 minit kemudian bersiap untuk kelas jam 10 pagi. Kemudian, hadir ke Hari Keluarga SRT PM2 di Kemensah. Dari situ, terus pergi ke Sungai Besar. Selepas Maghrib baru boleh berehat. Waktu itu, tak sempat juga untuk buka laptop.

Ini satu pengajaran untuk saya supaya menyelesaikan penulisan ini di awal pagi. Kalau bertangguh, inilah akibatnya.

OMAD diteruskan (walau terlajak makan)

Ya, semalam hari ke-14 saya lakukan OMAD. Saya makan tengah hrari di Kemensah. Tapi disebabkan ‘travel’ ke Sungai Besar, saya makan kali kedua malam tadi, selepas Maghrib selepas siap tengok lokasi peperiksaan kemasukan MRSM. Makan tak banyak pun tapi penuh jugalah perut.

Nak dijadikan cerita, pagi ini pun bersarapan macam tak buat OMAD tapi saya hanya makan pecal (sayur berkuah kacang, ada sedikit nasi impit dan bihun, makanan popular orang Banjar). Tapi saya tidak akan mengalah. Langgar sikit-sikit tak mengapa. Kita tetap teruskan OMAD. Ertinya hanya pecal makanan saya hari ini, sesi makan seterusnya ialah esok tengah hari. Moga dimudahkan.

Nizar Rayyan dan UKKM

Pagi ini, Nizar Rayyan menduduki Ujian Kemasukan Ke MRSM (UKKM) di MRSM Sungai Besar. Kenapa di Sungai Besar? Jawapannya ialah Rayyan memohon MRSM Ulul Albab. Jadi, akan ada ujian biasa khususnya subjek Sains dan Matematik dan akan ada ujian hafazan Al-Quran.

Rayyan juga telah menduduki ujian kemasukan SBP (PKSK). Semoga Rayyan berjaya mendapat tempat di sekolah menengah yang terbaik.

Larian tak dibuat pagi ini

Pagi ini, disebabkan telah keluar menghantar Rayyan ke UKKM, maka saya tak berlari. Saya memasang niat untuk berlari petang nanti ataupun malam nanti. Dapat lari 10 minit pun jadilah. Asalkan berlari dan berpeluh.

Saya risau saya penat petang nanti. Juga risau hujan. Sama-sama kita nantikan.

Kesimpulan

Memang mencabar untuk teruskan rutin harian kalau kita ada urusan yang di luar kebiasaan seperti travel. Tapi kita boleh merancang sebaiknya untuk memastikan rutin hari berjalan seperti biasa. Paling penting ialah mindset kita sendiri. Sekian, terima kasih.

Firdaus.
10.27 pagi.
6 November 2023.
Sungai Besar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *