HARI ini hari Khamis bersamaan 16 Mei 2024. 16 Mei adalah hari meraikan insan bergelar guru. Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru yang pernah mengajar saya sejak di bangku tadika hinggalah sekarang.
Jasa guru sangat besar dalam membentuk peribadi saya. Memang wajar profesion guru diberikan satu hari khas iaitu 16 Mei sebagai tanda menghargai mereka.
Saya terlibat secara langsung dalam bidang media sejak tahun 2011. Saya pulang ke Malaysia dari Mesir pada tahun tersebut dan terus bekerja dengan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan diberikan tugas memantau isu semasa Melayu dan Islam. Saya juga diminta membuat ulasan dari sudut pandang seorang warganegara berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Saya tidak mempunyai pendidikan formal di bidang media. Saya belajar sendiri melalui pembacaan buku dan artikel di internet. Saya hadir kursus-kursus yang bersesuaian termasuklah kursus penulisan, kursus asas kamera video, kursus asas kewartawanan dan sebagainya.
Antara individu yang boleh saya sebut sebagai guru saya dalam bidang media ialah Datuk A Kadir Jasin. Saya tak ingat apa judul buku beliau yang saya pinjam dari Perpustakaan Awam Bangi. Saya baca sampai habis. Saya dapat memahami isu-isu semasa yang dikupas oleh beliau selaku Tokoh Wartawan Negara.
Seterusnya ialah Ku Seman Ku Hussain. Beliau adalah bekas Ketua Pengarang Mingguan Malaysia. Saya sempat hadir satu kursus penulisan yang disampaikan sendiri oleh beliau. Saya beli dan baca bukunya bertajuk ‘Kata Ku Seman’. Saya pernah duduk berdua minum kopi bersama beliau di Alamanda, Putrajaya.
Individu seterusnya ialah Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman. Pertama kali bertemu beliau adalah di Kaherah ketika beliau selesai keluar dari Gaza selepas menyelesaikan satu misi bantuan kemanusiaan. Ketika bertugas sebagai pegawai penyelidik ISMA, saya dapat sentuhan terus daripadanya dalam memantau dan mengulas isu-isu semasa berkaitan Islam dan Melayu. Beberapa kali saya menulis kenyataan akhbar dan artikel untuk siaran atas nama beliau.
Apabila TV ISMA ditubuhkan, saya ditugaskan mengetuai pasukan dan dipantau rapat oleh Ustaz Abdullah. Produk yang dikatakan ‘meletup’ dihasilkan kami ialah video Lynas: Fakta atau Auta yang menjelaskan isu Lynas di Kuantan, Pahang yang lantang dibantah oleh pembangkang ketika itu. Kami pergi tapak projek Lynas dan bertemu dengan penduduk setempat. Kami juga menemubual Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan beberapa pakar kimia dan industri bagi mendapatkan jawapan adakah projek Lynas ini betul-betul berbahaya kepada masyarakat.
Jawapan yang saya dapat ialah ia langsung tidak berbahaya dan telah dijadikan isu oleh pembangkang atas faktor politik dan kepentingan perniagaan. Buktinya, lihatlah apa yang berlaku kepada projek Lynas ketika ini.
Nasihat yang selalu diulang oleh Ustaz Abdullah ialah sebagai wartawan, kita melihat sesuatu isu dari perspektif berbeza. Dalam isu arak umpamanya, golongan liberal melihat ia sebagai hak asasi manusia untuk meminumnya. Golongan Islam pula melihat ia sebagai minuman haram yang membinasakan. Jadi, perbezaan sudut pandang inilah yang menjadi penentu apakah sudut pandang yang perlu kita angkat dalam membuat liputan dan mengulas sesuatu peristiwa dan isu semasa.
Wartawan yang hebat tahu sudut pandang mana satu yang lebih sesuai diangkat kerana kerja wartawan bukan sekadar melapor. Sesuatu yang berlaku pula ada 1001 sebab kenapa ia berlaku. Hanya wartawan yang berpengetahuan luas dan teliti sahaja akan nampak mengapa sesuatu berlaku, mengapa seseorang tokoh politik berkata itu dan ini, dan sebagainya.
Banyak lagi insan yang menjadi guru saya dalam bidang media yang tidak dapat saya tulis nama mereka di sini. Saya juga belajar daripada pengalaman. Kemahiran menulis, mewawancara, membuat liputan berita, membuat stand upper, mengacara rancangan, mengendalikan kamera dan banyak lagi kemahiran media yang saya belajar sendiri daripada pengalaman.
Setelah lebih 13 tahun dalam bidang media, kini saya belajar sendiri untuk menjadi usahawan media dan sedia menimba ilmu daripada ‘orang lama’ usahawan industri media.
Nota: Bisnes kereta sewa berbeza sama sekali dengan bisnes media 🙂
Firdaus
Askfirdaus.com