DALAM USRAH TAK BOLEH TADDABUR AL QURAN? TAK LAYAK?
.
.
BEBERAPA kali saya terbaca kecaman sesetengah pihak yang melarang tegas aktiviti tadabbur atau mengambil pengajaran daripada tilawah Al-Quran yang biasa dilakukan dalam usrah.
Sebelum kita pergi lebih jauh, usrah atau halaqah adalah satu perkumpulan seperti ‘study group’. Ia dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan gerakan Islam seperti Isma dan kini usrah juga telah tersebar luas di sekolah dan universiti.
Tiada lain yang dikejar melalui usrah melainkan sebagai salah satu proses pengislahan diri yang sama-sama dilakukan oleh ahli usrah dengan bimbingan murabbi.
Bagi Ikhwan Muslimin di Mesir, definisi usrah sudah tentu lebih luas dan tidak terhad kepada perjumpaan kumpulan-kumpulan kecil. Boleh rujuk sendiri buku-buku Ikhwan Muslimin untuk maklumat lanjut.
Umumnya di sini, usrah dirujuk sebagai perjumpaan mingguan yang dilakukan dalam perkumpulan kecil yang disusun dengan bahan-bahan bacaan tertentu dan aktiviti-aktiviti tertentu.
Acara tilawah al-Quran dan tadabbur biasanya menjadi salah satu agenda wajib setiap minggu, bergantung kepada susunan yang ditetapkan oleh pengendali usrah.
Kita ulang semula persoalan tadi, adakah kita tidak layak untuk mentadabbur al-Quran? Adakah boleh murabbi usrah meminta setiap anak buahnya membaca al-Quran dan kemudian meminta mereka mengeluarkan pandangan sendiri berdasarkan apa yang mereka faham daripada bacaan tersebut? Adakah ia melanggar konsep tafsir al-Quran yang begitu ketat, memandangkan ilmu tafsir al-Quran adalah suatu yang besar dan tidak semua layak untuk mentafsir al-Quran? Adakah mereka yang melakukannya selama ini termasuk dalam golongan ‘mempermainkan kalam Allah’?
Bagi menjawab persoalan ini, kita renung terlebih dahulu firman Allah mengenai Al-Quran dalam Surah Al-Qamar ayat 17:
“Dan sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Quran itu untuk peringatan, adakah di sana tiada pemberi peringatan?”
Lihat! Allah sendiri menyatakan Al-Quran itu mudah dan Allah telah memudahkannya untuk difahami sebagai peringatan. Mengapakah kita perlu merasakan Al-Quran itu susah untuk difahami?
Allah juga berfirman mengenai tadabbur dalam Surah Muhammad ayat 24:
“Mengapakah mereka tidak mentadabbur Al-Quran, atau hati-hati mereka telah terkunci?”
Dalam ayat ini, Allah menyuruh manusia mentadabbur Al-Quran. Semua manusia yang memiliki hati dan akal semestinya dapat mentadabbur, memerhatikan apakah pengajaran yang dapat diambil daripada kalam Allah.
Jika Al-Quran itu susah difahami, mengapakah Allah meminta kita mentadabbur ayat-ayat-Nya?
Untuk menjawab lebih lanjut persoalan ini, mari kita meneliti apakah kata-kata Ibnu Abbas RA mengenai Al-Quran. Untuk pengetahuan, Ibnu Abbas adalah sahabat merangkap sepupu Nabi yang memang hebat dalam tafsir Al-Quran dan beliau menjadi rujukan sahabat-sahabat lain jika ada persoalan dalam memahami Al-Quran.
Ibnu Abbas membahagikan Al-Quran kepada empat bahagian:
1. Bahagian ini difahami oleh semua orang termasuk orang awam yang bukan ulama. Kebanyakan ayat Al-Quran diturunkan dalam keadaan mudah difahami dan tidak berhajat kepada tafsiran ulama.
2. Bahagian kedua ini adalah apa-apa yang boleh difahami berdasarkan kaedah bahasa Arab. Sesiapa yang mempelajari ilmu-ilmu bahasa Arab seperti Sarf, Nahu, Ilmu Maani, Ilmu Bayan, Syair, Adab dan Balaghah dan lain-lain, mereka akan mampu memahami ayat-ayat Al-Quran.
Dalam bahagian ini, Ibnu Abbas memecahkan kepada dua bahagian iaitu yang memerlukan penelitian pakar bahasa Arab untuk menjelaskannya; dan yang cukup difahami oleh mereka yang ada asas bahasa Arab.
3. Bahagian ketiga ini hanya diketahui oleh mereka yang mendalami dalam ilmu tafsir dan Al-Quran. Semestinya ayat-ayat Al-Quran dalam bahagian ini hanya boleh dihuraikan lebih terperinci oleh para ulama yang ada pengkhususan dalam bidang ini.
Orang awam biasa tidak dibenarkan memahami ayat Al-Quran yang sulit mengikut kefahamannya sendiri. Nak tak nak, dia perlu merujuk kepada pakar atau ulama tafsir.
4. Bahagian keempat ini tidak diketahui maksudnya kecuali Allah. Contohnya, huruf-huruf hijaiyah yang berada di awal surah-surah seperti Alif Lam Mim, Yaasin dan lain-lain.
Ulama tafsir terpecah kepada dua kumpulan dalam berdepan dengan huruf-huruf ini. Ada yang berpandangan untuk mentafsirkan maksud di sebalik huruf ini, ada yang tidak mentafsirkannya dan menyerahkan maksud sebenarnya kepada Allah.
Bagi Ibnu Abbas, bahagian keempat inilah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai cabaran terhadap golongan kafir untuk mendatangkan ilmuan mereka bagi menjelaskan apakah maksud huruf-huruf ini, dan sudah tentu mereka tidak boleh menjawab!
Berdasarkan kepada empat bahagian ini, kita dapat menyimpulkan bahawa ayat-ayat Al-Quran dalam 30 juzuk itu ada yang mudah difahami, ada yang memerlukan asas bahasa Arab, ada yang memang ulama tafsir sahaja memahaminya dan ada yang tidak diketahui langsung maksudnya kecuali Allah.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 7:
“Dialah yang menurunkan Al-Kitab, antaranya ada ayat-ayat muhkamat (jelas maksudnya), ayat-ayat inilah menjadi pokok isi Al-Quran, dan ayat-ayat lainnya ayat mutasyabihat (samar-samar maksudnya). Adapun mereka yang cenderung hatinya ke arah kesesatan, maka mereka menuruti apa yang samar-samar itu untuk mendatangkan fitnah dan mencari-cari takwilnya. Dan tidaklah diketuai takwilnya itu melainkan Allah. Dan orang yang mendalam ilmu agamanya berkata: Kami beriman dengan-Nya (Tuhan kami), dan semuanya datang daripada Tuhan kami, dan tiadalah yang mengambil peringatan itu melainkan orang yang berfikir.”
Justeru, disimpulkan di sini bahawa apa yang dilakukan dalam usrah itu tidaklah dilarang sepenuhya dan tidak pula dibenarkan sepenuhnya.
Jika kita membaca ayat-ayat yang jelas maksudnya, kita boleh mengambil pengajaran dan mengaitkannya dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Bagi ayat-ayat yang sukar, hendaklah kita merujuk kepada kitab-kitab tafsir atau ulama kerana dikhuatiri pemahaman kita menyimpang daripada maksud asalnya.
Kita tak mahu menjadi antara dua golongan ini:
1. Tidak mengambil pengajaran sedikit pun daripada Al-Quran kerana berpandangan semuanya perlu dirujuk kepada alim ulama.
2. Mentafsir dan memahami Al-Quran mengikut hawa nafsu dan akal sendiri yang cetek.
Wallahu a’lam.
Mohd Firdaus Salleh Hudin
Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir)
Universiti Al-Azhar
Pengikut tegar Tarbiah Sentap
Telah disiarkan lebih awal di Page Tarbiyah Sentap pada 13 September 2017