Liberal istilah negatif kerana berkiblatkan Barat

SYABAS dan tahniah diucapkan kepada majoriti rakyat Malaysia kerana masih menolak liberalisme.

Memang seharusnya kita rasa takut apabila diberi label ‘liberal’ kerana istilah ini adalah istilah yang amat negatif dan buruk.

Perasaan takut dilabel ‘liberal’ mestilah sama takutnya dilabel sebagai ‘Syiah’ dan ‘sekular’ kerana ia berkiblatkan Barat dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Ada orang mendefinisikan liberal sebagai moden dan bebas, malah mengatakan tidak ada masalah bagi orang Islam untuk menjadi liberal.

Ini adalah salah faham yang wajib diperbetulkan. Moden dan bebas dalam konteks liberalisme ialah bebas daripada sebarang keterikatan termasuklah ikatan agama.

Orang Islam tidak boleh menjadi liberal kerana orang Islam terikat dengan hukum agama. Orang Islam mesti mengamalkan Islam secara keseluruhan. Islam tidak boleh diambil sekerat-sekerat seperti yang diserukan oleh golongan liberal.

Golongan liberal gemar menggunakan hujah ayat Al-Quran “Tiada paksaan dalam beragama” (petikan ayat 256, Surah Al-Baqarah) sebagai hujah untuk menghalalkan perkara yang haram seperti perlakuan LGBT, maksiat dan lain-lain.

Inilah masalah golongan liberal. Menggunakan hujah agama untuk menghalalkan perkara haram.

Perkara sebenar yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah tiada paksaan dalam soal iman dan akidah bagi orang kafir. Terpulang kepada mereka untuk masuk Islam atau tidak. Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah.

Bagi orang Islam yang beriman pula, mereka terikat dengan tuntutan iman untuk melaksanakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.

Jika seseorang muslim itu meminum arak, kita wajib menghalangnya kerana dia telah melanggar batasan agama kerana arak itu diharamkan bagi umat Islam.

Ini adalah satu contoh betapa teruknya sikap golongan liberal yang perlu dijauhi.

Rujuklah sumber utama Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah dan jangan mentafsirkannya mengikut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh golongan liberal.

Seharusnya rakyat Malaysia wajib berterusan menolak liberalisme dan menjaga diri dan anak keluarga kita daripada tergolong dalam golongan liberal.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
www.askfirdaus.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *