Catatan peribadi: Saya dan TV Pertiwi

Antara barisan staf awal TV Pertiwi

Bismillah. TV Pertiwi mula ditubuhkan pada Julai 2018. Saya antara kakitangan yang ada ketika TV Pertiwi dibangunkan. Hari ini sudah Mac 2023. Pada bulan Julai nanti, genap lima tahun TV Pertiwi beroperasi.

Ada yang bertanya, kenapa saya setia sangat kerja di sini? Sebelum menjawab soalan ini, saya ingin menjawab soalan apakah TV Pertiwi dan kenapa ia ditubuhkan.

TV Pertiwi adalah sebuah media dalam talian. Ketika beberapa tahun awal penubuhan, TV Pertiwi menerbitkan kandungan video meliputi berita dan isu semasa, wanita, remaja, hobi dan sebagainya. Kini, TV Pertiwi lebih memfokuskan kandungan berita dan isu semasa. Mengapa?

Hal ini kerana TV Pertiwi terpaksa memilih satu jenis kandungan sahaja disebabkan kekangan tertentu. Sudah tentu berita dan isu semasa menjadi pilihan kerana ia strategik dalam menyampaikan sudut pandang dan mengangkat naratif tertentu untuk tatapan awam.

TV Pertiwi ditubuhkan kerana medan media adalah satu medan strategik. Ia adalah salah satu paksi kuasa. Sebagai contoh mudah, semua parti politik memerlukan media untuk mempengaruhi pandangan awam seterusnya boleh mendapat kuasa melalui pilihan raya.

Pihak kerajaan memerlukan media untuk terus kekal berkuasa. Pembangkang pula mencari-cari media untuk mendapat liputan dalam menjuarai sesuatu isu. Ini semua berkaitan kuasa.

Akan tetapi, jika media hanya didominasi suara ahli politik, di manakah suara rakyat bawahan akan didengari? Justeru, TV Pertiwi ditubuhkan untuk mengangkat suara majoriti orang Melayu, suara rakyat marhaen supaya diberi perhatian. Hal ini penting kerana bagi memastikan orang Melayu mendapat hak dan terus dihormati di negara ini.

Di sinilah pentingnya kewujudan media yang bebas cengkaman politikus atau mana-mana pihak berkepentingan. Isu-isu yang menggugat kepentingan orang Melayu perlu diangkat. Masalah yang membelenggu orang Melayu wajib disuarakan. Kejayaan anak-anak Melayu wajar diarusperdanakan bagi menyuntik semangat.

Peranan ini tidak betul-betul dimainkan oleh organisasi media sedia ada. Kelompongan inilah yang diisi oleh TV Pertiwi.

Maka, atas kefahaman ini saya masih kekal berjuang di sini.

Gambar kenangan ketika studio baru siap
Di sesi penyampaian cenderamata, dalam satu latihan media yang diadakan di awal penubuhan

One thought on “Catatan peribadi: Saya dan TV Pertiwi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *