MENGAPAKAH topik kebebasan media sering menjadi isu yang selalu dimainkan?
Jawapan saya ialah kerana media adalah satu perkara yang sangat penting dewasa ini. Semua pihak perlukan media. Kerajaan, syarikat perniagaan dan orang awam selaku pengguna.
Media menjadi penghubung satu pihak kepada pihak massa. Parti politik kepada pengundi. Kerajaan kepada rakyat. Peniaga kepada pembeli. Begitulah seterusnya.
Secara logiknya, semua orang bebas bersuara di media. Namun, tetap ada pantang larangnya. Kita dibenarkan berbicara apa sahaja, tapi mestilah mematuhi undang-undang negara. Keadaan ini normal.
Insan beragama pula telah menjadikan agama sebagai panduan dalam menyiarkan apa-apa kandungan. Ini juga biasa.
Apa yang menjadi pelik ialah apabila kebebasan media itu disekat sama ada oleh pihak kerajaan atau pihak pemilik media.
Kerajaan melalui agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhak menyekat akses ke mana-mana laman web yang dirasakan kandungannya telah melanggar undang-undang. Ini kuasa yang kerajaan ada.
Tapi seringkali kita dapati kuasa eksekutif ini disalah guna apabila ada media yang menyiarkan kandungan politik disekat atas alasan mengancam ketenteraman negara. Sedangkan pandangan politik adalah pandangan yang tidak melanggar undang-undang. Kita boleh ulas panjang lebar berkenaan isu ini.
Terkini, Meta telah menaikkan semula gambar pertemuan Perdana Menteri Malaysia dengan pemimpin Palestin, Ismail Haniyah di Qatar. Gambar itu telah dipadam sebelum dinaikkan semula.
Kita sedia maklum, Meta selaku pengendali Facebook mempunyai peraturan sendiri mengenai kandungan sensitif, antaranya kandungan berkenaan isu genosid di Palestin.
Ini dua contoh dalam isu kebebasan media. Pertama, kerajaan memang ada kuasa sekatan. Kedua, pemilik platform juga ada kuasa menurunkan kandungan yang dirasakan berbahaya olehnya.
Jadi, fahamlah kita mengapa isu kebebasan media menjadi topik panas sepanjang masa.
Nota: Ada orang ketika tiada kuasa, dia bising soal kebebasan bersuara. Apabila dah ada kuasa, dia pula lakukan sebaliknya.
Firdaus
Askfirdaus.com