Cerita satu ringgit orang Melayu

Soalan: Merdekakah kita sebenarnya?

REALITI orang Melayu hari ini bertitik-tolak daripada sejarah dahulu kala. Dahulunya orang Melayu sekian sekian. Kini sudah jadi sekian sekian. Sedikit masa lagi, akan jadi sekian sekian jika tiada perubahan.

Dialog seperti ini sering kita dengar dan kadang-kadang kita sendiri yang menjadi pengulasnya.

Saya pernah dengar kisah satu ringgit orang Melayu yang dijadikan perumpamaan oleh sesetengah sejarawan dan pemimpin Melayu. Kisah ini belum tersebar luas tapi ia menjelaskan apa yang berlaku sekarang kepada orang Melayu. Kisah ini bukan untuk mencetuskan kontroversi mahupun untuk menyalahkan mana-mana pihak. Ambillah ia sebagai pedoman.

Kisahnya begini.

Dahulu, tanah ini milik orang Melayu. Sejarah menjadi bukti. Segala kekayaan tanah ini jatuh kepada tangan orang Melayu sepenuhnya. Satu ringgit yang diniagakan, satu ringgit yang menjadi hasil aktiviti ekonomi di tanah ini dapat kepada orang Melayu. Ini tanah kita, kita usahakan itu dan ini, lalu mendapat hasil sama ada satu ringgit, seratus ringgit, seribu ringgit, sejuta ringgit, semuanya dapat kepada orang Melayu. Ini situasi dahulu.

Kemudian, datangnya penjajah. Belanja, Portugis, Jepun dan British menjajah dan mengaut hasil mahsul tanah kita. Satu ringgit yang asalnya milik tuan tanah seratus peratus, kini beralih ke tangan penjajah. Mereka dakwa mereka telah membangunkan tanah ini dari aspek pengangkutan, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya. Hasil bumi seperti emas dan bijih timah telah dikaut oleh mereka. Oleh itu, daripada satu ringgit yang dikumpul, mereka membolot 80 sen. 15 sen dapat kepada pekerja-pekerja lombong dan orang asing yang penjajah bawa masuk. Hanya 5 sen yang tinggal untuk orang Melayu selaku tuan tanah.

Menggunakan 5 sen inilah yang penjajah dakwa mereka telah membangunkan negara ini. Walhal ia memang hasil tanah ini. Sedangkan 80 sen yang mereka dapat, mereka bawa lari ke negara asal. 80 sen ini sebenarnya milik orang Melayu. Ia telah dicuri oleh penjajah secara terang-terangan.

Dipendekkan cerita, puak penjajah pun telah keluar dan tanah ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Penjajah keluar meninggalkan orang Melayu bersama kaum lain yang telah dibawa masuk sebagai pekerja sebelum itu. Akhirnya, orang Melayu bukan lagi satu-satunya penduduk di tanah ini. Orang Melayu terpaksa menerima orang lain sebagai syarat kemerdekaan. Orang lain mendapat kerakyatan dan diberikan pelbagai manfaat. Balasannya, orang Melayu mendapat keistimewaan tertentu dalam Perlembagaan seperti hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai agama persekutuan dan lain-lain.

Timbul persoalan, apa jadi kepada satu ringgit tadi? Adakah orang Melayu dapat balik sepenuhnya satu ringgit yang hakikatnya milik mereka selaku tuan tanah?

Jawapannya tidak. Satu ringgit itu terpaksa dikongsi dengan kaum lain. Berapa sen yang orang Melayu dapat? Saya tidak tahu. Apa yang pasti ialah orang Melayu berada di posisi yang rugi. Asalnya dapat satu ringgit. Kemudian dicuri oleh penjajah. Sekarang terpaksa berkongsi pula dengan orang lain. Tapi orang Melayu tidak kisah kerana orang Melayu berhati mulia dan suka bertolak-ansur.

Situasi inilah yang akhirnya membarah dan semakin menekan orang Melayu. Barangkali orang Melayu hanya dapat 10 sen sahaja jika dilihat secara kasar pada realiti hari ini. Daripada 10 sen itu, mungkin 7 sen telah dikaut oleh politikus Melayu yang sanggup menggadaikan nasib anak bangsa sendiri. Hanya tinggal 3 sen sahaja untuk orang Melayu. Lagi 97 sen telah hilang begitu sahaja.

Demikianlah cerita satu ringgit orang Melayu. Amat pedih untuk ditelan tapi itulah realitinya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan kisah ini, terpulanglah. Ini hanya sekadar cerita. Boleh diterima dan boleh ditolak.

Saya tidak berniat untuk mencetuskan sentimen perkauman atau menyalahkan mana-mana pihak. Cuba kita renung sedalam-dalamnya cerita ini. Semoga orang Melayu lekas sedar dan bangun membetulkan keadaan.

Nota: Adakah bersembang hal bangsa sendiri dengan niat menyedarkan bangsa sendiri berisiko untuk jadi kes 3R (racial, religion and royal)? Minta dijauhkan.

Firdaus
Askfirdaus.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *