Inilah Saya, Salam Perkenalan

Nama saya Mohd Firdaus bin Salleh Hudin. Keluarga dan kenalan panggil saya Ustaz Os.

Ya saya seorang ustaz, pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir) di Universiti Al-Azhar, Mesir. 4 tahun saya belajar di Mesir, sejak akhir 2005 hingga akhir 2009. Tapi saya kembali ke tanah air pada awal 2011, setelah tamat peperiksaan akhir isteri saya di Universiti Ain Shams, di kota Kaherah.

Tidak lama selepas saya menjejakkan kaki di tanah air, saya ditawarkan bertugas dengan NGO Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebagai Pegawai Penyelidik. Bidang kerja saya ketika itu adalah lebih kepada membantu Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dalam tugas-tugas tertentu terutamanya berkaitan kenyataan rasmi di media dan penulisan artikel.

Pada penghujung 2011, saya ditawarkan menjadi pengurus TV ISMA yang ditubuhkan.

Selang setahun, saya diberi jawatan menjadi Pengarang Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Pada Julai 2018, saya ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) untuk TV Pertiwi, di bawah syarikat Kerengga Merah Sdn Bhd.

Saya terlibat dengan Isma cawangan Gombak kerana rumah saya di Ampang. Ampang terletak di bawah jajahan Isma Gombak.

Pada masa yang sama, saya juga ahli Majlis Ulama Isma (MUIS), satu cabang ulama dalam Isma. Saya dan rakan-rakan seangkatan lain yang belajar pengkhususan pengajian Islam dalam universiti tempatan dan luar negara diserapkan dalam kumpulan Ulama Muda MUIS. Sesuailah dengan bidang pengkhususan saya di Mesir yang amat diminati iaitu tafsir Al-Quran.

Untuk penglibatan dalam masyarakat, saya adalah pengerusi Surau Residensi Pandanmas 2 (berdaftar dengan JAWI). Saya juga dilantik menjadi pengerusi Rukun Tetangga (berdaftar dengan Jabatan Perpaduan Negara).

Pada akhir 2013, saya berdaftar mahasiswa peringkat sarjana di Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Namun, saya tidak berjaya menamatkan pengajian ini. Ini adalah antara kisah kegagalan dalam hidup saya.

Sebagai ustaz, saya mendapat jemputan ceramah dan mengisi kuliah ganti di masjid dan surau berdekatan. Saya masih belum mempunyai slot tetap di mana-mana masjid atau surau. Sejak balik ke Malaysia pada 2011, memang banyak masjid dan surau telah saya pergi, menjadi khatib Jumaat beberapa kali. Pada tahun ini (2016), saya agak kerap dijemput menjadi pengisi kuliah Subuh (tilawah dan tadabbur Al-Quran) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Nak dijadikan cerita, pada Julai 2016, saya mula terlibat dengan perniagaan. Rasa ingin mencuba dan ingin tahu bagaimana rasanya menjadi usahawan akhirnya mendorong saya menjadi pengusaha syarikat kereta sewa. Melalui perniagaan, saya belajar banyak benda dan kenal lebih ramai orang. Lebih penting adalah saya lebih kenal potensi diri saya. (Laman web kereta sewa tekan sini)

Saya sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak. Isteri saya seorang pensyarah di Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras.

Kami berkahwin pada 12.12.2009 dan kini dikurniakan cahaya mata yang sihat dan comel-comel iaitu Nizar Rayyan, Aaliyah dan Sofiyyah.

Setakat ini dahulu pengenalan mengenai diri saya. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila ikut blog ini yang akan saya tulis dari semasa ke semasa. (Rujuk blog lama saya di sini)

Terima kasih daun keladi!