[ Artikel ini telah disiarkan lebih awal di www.ismaweb.net: http://www.ismaweb.net/2017/09/islam-di-malaysia-dan-satun-thailand-satu-cetusan/ ]
BERSYUKURLAH! Ini respon pertama saya setelah berada selama tiga hari di Satun, Thailand.
Sempena hari raya Aidiladha tahun ini, saya mendapat jemputan daripada Yayasan Ikhlas untuk turut serta dalam projek ibadah korban tahunan yang diadakan di beberapa buah negara lain. Pada awalnya saya diminta bersedia untuk ke Bangladesh tetapi pada saat-saat akhir, saya dimaklumkan akan menyertai projek ini di Wilayah Satun, satu daerah di bahagian selatan negara gajah putih itu, tak sampai 50 kilometer dari pintu sempadan Wang Kelian.
Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan di Pulau Puju, manakala seekor lagi di Kampung Katri. Semuanya disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui Yayasan Ikhlas, I-Medik dan Masjid Al-Ikhlas Shah Alam.
Apakah yang perlu disyukurkan? Mengapa?
Di Satun, terdapat ramai umat Islam. Mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Siam. Bilangan masjid juga banyak, boleh dilihat di kiri dan kanan jalan. Tapi masjid-masjid itu dibina sendiri oleh penduduk hasil sumbangan umat Islam termasuk rakyat Malaysia, bukan daripada peruntukan khas oleh pihak kerajaan.
Masjid Hidayatul Iman di Pulau Puju sebagai contoh, adalah sumbangan hartawan kilang beras yang berasal dari Malaysia. Bangunan madrasah di masjid itu turut dibina tetapi tidak sempat siap sepenuhnya setelah dermawan itu meninggal dunia. Bagaimanapun, sekolah itu tetap beroperasi dengan serba kekurangan.
Sama seperti di kampung-kampung di Malaysia, acara sembelihan dan melapah disempurnakan secara gotong-royong di sebelah pagi selepas solat sunat Aidiladha. Pada waktu tengah hari, disediakan jamuan makan berupa hidangan sup daging. Pada sebelah malam pula diadakan majlis sambutan Aidiladha besar-besaran. Ramai penduduk pulau hadir dan dihidangkan dengan jamuan makanan daging dan dihiburkan dengan kemeriahan persembahan anak-anak yang menuntut di madrasah di pulau itu.
Kehidupan mereka sederhana. Pakaian juga melambangkan keislaman. Mereka juga memiliki ciri-ciri asas muslim seperti menghormati tetamu. Jamuan makan di rumah-rumah penduduk yang kami singgah tidak pernah henti.
Di Pulau Puju, seratus peratus penduduknya yang seramai kira-kira 2,000 orang itu beragama Islam. Mereka bebas mengamalkan Islam tetapi mereka hidup di negara yang tidak meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan tidak meletakkan pembangunan Islam sebagai agenda negara.
Akhirnya, kehendak untuk melihat Islam itu diamalkan sepenuhnya terletak di bahu masyarakat Islam di situ. Di sinilah peranan besar ulama dan pendakwah perlu dimainkan. Alhamdulillah, melalui networking yang ada, Yayasan Ikhlas berjaya masuk ke Pulau Puju untuk acara ibadah korban pada tahun ini. Usaha murni ini sedikit sebanyak dapat merancakkan pengamalan Islam di kampung itu.
Inilah yang perlu disyukuri oleh kita di Malaysia. Meskipun Islam belum ditegakkan sepenuhnya, tetapi peranan besar telah diambil oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi keagamaan seperti Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Zakat dan sebagainya.
Tinggal lagi, apabila kita meneliti bagaimanakah Islam itu perlu diangkat seperti ditunjukkan dalam sirah Nabi Muhammad dan sejarah Tamadun Islam, kita sedar status Islam di Malaysia hari ini tidak boleh dibiarkan seperti sekarang. Selain berusaha menyekat arus ideologi yang menyesatkan dan mencairkan identiti muslim, kita perlu berusaha meningkatkannya lebih tinggi dalam segenap aspek kehidupan.
Inilah cabaran kita hari ini.
Pada waktu malam di Satun, terdapat premis urut yang dibuka di lorong-lorong tertentu. Ia menjadi ‘port’ penduduk setempat melampiaskan nafsu. Tiada larangan seperti di negara kita. Bezanya, di Malaysia, pusat-pusat maksiat berselindung di sebalik nama pusat urut dan hiburan berlesen.
Hakikatnya, pengamalan Islam tak kira di mana sekalipun bertitik tolak daripada ilmu dan iman. Ia perlu bersemat di hati setiap muslim dan dihayati seterusnya dijelmakan dalam kehidupan seharian. Begitu juga dengan menentang kemungkaran. Di samping itu, suasana setempat juga memberi pengaruh. Faktor luaran seperti siaran televisyen dan radio, kewujudan majlis agama dan pembinaan sekolah agama dan masjid-masjid turut memainkan peranan besar.
Umat Islam di Satun tidak mengambil pendekatan menentang kerajaan dan tiada pula tekanan dikenakan oleh kerajaan ke atas mereka. Ruang inilah yang perlu dimanfaatkan oleh ulama dan pendakwah dalam usaha membangunkan umat Islam di sana. Usaha murni Yayasan Ikhlas turut dihargai. Sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Rakyat Malaysia sememangnya amat prihatin dengan saudara-saudara seakidah di negara lain.
Banyak lagi yang boleh diceritakan tetapi cukuplah sedikit gambaran ini menunjukkan realiti Islam di negara kita dan negara lain sebagai pengajaran bersama.
Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb.net
TONTON VIDEO LAPORAN IBADAH KORBAN YAYASAN IKHLAS DI SATUN, THAILAND: