Bagaimana Saya Mula Berniaga? Mengapa Kereta Sewa?

Saya suka mengajar tapi orang suka ke saya ajar?

APABILA keadaan kewangan kita tidak stabil, kita akan terfikir untuk mencari duit sampingan.

Tidak stabil saya ertikan sebagai perbelanjaan melebihi pendapatan dan tiada simpanan.

Untuk menstabilkannya semula, kita mesti kurangkan perbelanjaan dan menambah pendapatan. Tak mampu buat dua-dua, buat satu-satu. Saya dah cuba kurangkan perbelanjaan tapi masih tak stabil juga.

Saya mula mencari wang sampingan dengan mengajar di masjid dan surau. Tapi mungkin disebabkan saya tidak pandai berceramah kepada audien yang rata-ratanya berumur 40an ke atas, disebabkan itu saya tidak mendapat slot tetap untuk menyampaikan kuliah.

Mungkin juga kerana saya tidak nampak bersungguh-sungguh. Tiada persediaan dan tidak menguasai bahan. Ada banyak faktor.

Sehinggalah pada satu ketika, saya terbaca satu artikel di internet yang mencadangkan supaya memulakan perniagaan dengan apa yang ada di tangan.

Saya senaraikan apakah potensi dan kelebihan yang saya ada. Pandai Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, pandai Al-Quran, suka menulis, suka mengajar tapi orang dengar tak best pun (saya rasa la), tinggal di Ampang dan saya ada kereta.

Macam-macam idea timbul. Waktu itu Uber tengah kontroversi dalam media, pemandu teksi buat mogok membantah Uber.

Pada April 2016, saya tekad untuk berdaftar sebagai pemandu Uber. Tak takut dipukul pemandu teksi walaupun ada kes pemandu Uber dipukul. Di sini saya belajar menerima duit sampingan, walaupun tak banyak, tapi ada duit masuk. Buat sambilan kan.

Boleh rujuk artikel sebelum ini mengenai pengalaman saya memandu Uber. http://askfirdaus.com/2017/10/21/pengalaman-memandu-uber/

Pada Ogos 2016, bulan Ramadan, saya terfikir untuk memulakan perniagaan kereta sewa. Saya ada kereta. Saya boleh memandu Uber, saya juga boleh buat sewa.

Saya meneruskan pembacaan di internet bagaimana orang lain menjalankan perniagaan ini.

Kena ada surat perjanjian, ambil dokumen, ambil duit deposit dan sebagainya.

Saya pun membuat iklan di mudah.my.

Pelanggan pertama saya adalah ketika Hari Raya Puasa. Saya dapat RM300. Seronok sangat ketika itu.

Seterusnya saya terbaca iklan Seminar Buat Duit Dengan Bisnes Kereta Sewa anjuran otai kereta sewa, Tuan Wahi Abd Rashid.

Yuran early bird RM50 saya terlepas.

Yuran naik ke RM100. Saya tak ada duit nak bayar. Pujuk isteri, dia berikan RM100.

Selesai seminar, Tuan Wahi menawarkan sesi Personal Coaching berharga RM1,250 yang dilakukan secara berkumpulan. Mahal betul saya fikir. Tapi sebenarnya berbaloi-baloi apabila orang berpengalaman beri tunjuk ajar A-Z.

Saya tahu saya tak mampu. Yuran seminar RM100 pun pinjam duit isteri, inikan pula RM1,250. Tapi saya pergi juga.

Nak tahu macam mana saya dapat duit RM1,250?

RM250 adalah hasil kereta sewa.

Lagi RM1,000 pinjam duit pelabur. Ya, ketika saya mula berniaga, saya membuat page FB Sewa Kereta Ampang. Saya mengumumkan di FB peribadi saya bahawa saya baru memulakan perniagaan kereta sewa.

Secara tak disangka, ada hamba Allah terbaca FB saya dan sudi memberikan wang tunai untuk saya membeli Viva terpakai untuk disewa.

70% daripada duit jualan perlu diberikan kepada pelabur itu, 30% lagi saya ambil.

Beginilah saya memulakan perniagaan kereta sewa.

Modal saya keluarkan:
1. Kereta Myvi sendiri
2. RM100 pergi seminar
3. RM1,250 pergi personal coaching
4. RM50 buat iklan di mudah.my
5. Ada lagi sikit-sikit modal maintenance kereta.
6. Dapat pelabur beli satu lagi kereta dan pinjamkan duit pergi personal coaching. (Ini tak ada modal, hanya kongsi cerita di FB)

Sekarang syarikat saya menguruskan 5 buah kereta sendiri dan 5 buah kereta pelabur dan pemajak.

Saya juga telah mengambil seorang kakitangan untuk menguruskan tempahan dan penghantaran dan ambilan semula kereta.

Menjawab soalan yang merupakan tajuk artikel, Bagaimana Saya Mula Berniaga? Mengapa Kereta Sewa?

Jawapannya ialah saya ada kereta dan saya sewakannya. Saya bermula dengan apa yang ada di tangan, tak perlu keluar modal besar.

Yang pasti, ketika awal-awal dahulu, saya tidak kaji betul-betul ranjau dan duri dalam bisnes kereta sewa. Main jalan je.

Apabila main jalan je, banyaklah duri yang saya kena, macam-macam kes. Rugi sana, rugi sini. Kereta bau rokok, kena tipu orang tak bayar dan sebagainya.

Setakat ini dahulu perkongsian saya. Sebarkan jika bermanfaat.

Teruskan mengikuti saya untuk perkongsian seterusnya. FB page saya: https://www.facebook.com/Mohd-Firdaus-bin-Salleh-Hudin-558000467732420/

Mohd Firdaus Salleh Hudin
www.askfirdaus.com
www.ismaweb.net
www.carrentalampang.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *