Bagaimana jadi pemimpin ketika perang (krisis)? Jawapannya dalam buku ‘Lessons from a Warzone’

Bahasanya mudah. Ceritanya menarik dan mendebarkan.

JUDUL buku ini agak mengerikan dan terasa jauh dan tiada kaitan dengan kita. Ini persepsi awal saya ketika melihat muka depan buku ini.

Saya teruskan membelek dan ayat How to be a Resilient Leader in Times of Crisis telah menangkap perhatian saya. Oh, rupanya buku yang ditulis oleh orang kuat bank warga Syria ini bercakap soal kepimpinan. Topik kepimpinan memang menarik minat mereka yang memimpin sama ada diri sendiri, keluarga, di tempat kerja dan sebagainya.

Perkataan Warzone pula kelihatan jauh dan agak mustahil berlaku di Malaysia manakala perkataan Crisis pula dirasakan lebih dekat.

Berikut antara isi menarik bagi saya setakat pembacaan 1/3 buku:

  1. Buku ini ditulis oleh Louai Al Roumani, lelaki Syria yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di sebuah bank bernama Banque Bemo Saudi Fransi (BBSF) di Syria ketika Arab Spring melanda dunia Arab termasuk Syria pada awal tahun 2011.
  2. Penulis menjelaskan istilah Critical Success Factor (CSF). Ia adalah perkara yang kita perlu utamakan tidak kira ketika perang atau tidak. Ia mesti ada untuk memastikan perniagaan kita berjaya. Dalam konteks urus niaga bank, kepercayaan adalah salah satu CSF. Ketika perang, ramai pendeposit telah mengeluarkan wang mereka dengan banyak dan ini amat merisaukan mana-mana bank. BBSF tidak terkecuali tetapi mereka mengambil langkah menayangkan jumlah tunai yang bank di kaunter-kaunter bagi meredakan kerisauan pendeposit. Akhirnya setelah beberapa tempoh, pendeposit kembali menyimpan wang mereka di bank itu. Ertinya, setiap pemimpin perlu tahu CSF perniagaan mereka dan fokus pada perkara itu tak kira apa jua keadaan.
  3. Louai menceritakan keistimewaan bandar Damsyik, ibu negara Syria. Ia adalah bandar lama bersejarah yang masih dihuni  setelah ribuan tahun. Berbeza dengan tempat bersejarah lain, dahulunya sibuk dan menjadi tumpuan, tetapi sekarang sunyi tidak diduduki. Pengajarannya, pemimpin perlu utamakan kejayaan jangka masa panjang. Keuntungan jangka masa panjang adalah lebih utama. Menariknya ketika perang, BBSF bijak mencari peluang dengan menawarkan pakej pinjaman perumahan di saat ribuan rakyat Syria lari meninggalkan negara itu. Pelik. Nak tahu kenapa? Kena baca buku ini.
  4. Ketika perang, semua orang diuji dan secara umumnya, diri sendiri jadi keutamaan. Bagaimanapun, BBSF bukan sahaja mengutamakan kebajikan pekerjanya, bahkan inisiatif yang dibuat telah membantu pekerja bank-bank lain. Ini membuktikan sikap orang Arab yang sangat suka membantu dan menghormati tetamu. Saya tahu perangai Arab sejak zaman jahiliyah hingga sekarang memang sangat suka menghormati tetamu tetapi saya tidak faham mengapa. Louai menjelaskan dahulu Arab hidup secara nomad dan tinggal di padang pasir. Kesusahan hidup di padang pasir ini memang sangat betul-betul susah dan amat difahami oleh mereka yang pernah merasainya. Justeru, mereka akan memberi minum dan menghulur bantuan kepada mana-mana pihak yang datang bertamu atau datang melalui penempatan mereka kerana mereka tahu, orang yang musafir di padang pasir berada dalam keadaan yang amat memerlukan. Akhirnya budaya menghormati tetamu ini kekal sampai sekarang dan telah diamalkan oleh BBSF seperti yang diceritakan Louai.
  5. Don’t die until death comes to you. Inilah sikap yang perlu ada pada seorang pemimpin. Jangan mudah menyerah. Jangan cepat mengalah. Meskipun sedang menghadapi krisis besar seperti peperangan yang tidak tahu bila akan berakhir, tetap panjang akal dan berusaha selagi bernyawa.

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Nantikan sambungannya setelah saya selesai membaca muka surat terakhir, jika diizinkan Allah.

Nota: Saya tak pernah ke Syria. Selepas baca buku ini, saya terus masukkan Syria dalam senarai negara yang mahu dilawati kerana sejarahnya yang hebat, menjadi pusat pemerintahan kerajaan Umayyah.

Firdaus
Askfirdaus.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *