Di zaman dahulu terdapat seorang tua bernama Pak Kaduk. Kehidupan Pak Kaduk boleh dikatakan sederhana. Beliau mempunyai sebuah rumah, tanah untuk bercucuk tanam dan, yang paling beliau sayangi, se ekor ayam jaguh.
Ayam jaguh Pak Kaduk amat gagah. Ia telah banyak kali memenangi perlawanan. Ayam ini amat disegani di gelanggang perlawanan. Ayam jaguh ini jugalah yang telah banyak memberi Pak Kaduk pelbagai harta kerana memenangi perlawanan laga ayam.
Begitu terkenal Pak Kaduk dan ayam jaguhnya sehingga sampai ke pengetahuan Raja, yang turut meminati aktiviti laga ayam dan mempunyai beberapa ayam jaguh sendiri. Raja begitu takjub dengan pelbagai berita yang beliau dengar mengenai kehebatan ayam jaguh Pak Kaduk dan berhasrat untuk melihat sendiri ayam jaguh berkenaan.
Untuk tujuan itu beliau pun bercadang untuk mengadakan pertandingan laga ayam peringkat kebangsaan dengan rancangan agar Pak Kaduk dan ayam jaguhnya menyertai pertandingan ini.
Berita mengenai pertandingan ayam laga yang dianjurkan oleh Raja tersebar ke merata negeri. Sehingga ia sampai ke pendengaran pak kaduk juga. Pak Kaduk amat gembira apabila mengetahuinya dan begitu bersemangat untuk menyertainya. Beliau tidak sabar menanti hari pertandingan. Sebagai persiapan, beliau melatih ayam jaguhnya dan menyediakan pakaian yang baik bagi menghadiri pertandingan berkenaan.
Tibalah hari pertandingan, Pak Kaduk berada di gelanggang pertandingan di awal-awal lagi. Pertandingan dimulakan, ayam jaguh pak kaduk menyertai perlawanan demi perlawanan. Ayam berkenaan memenangi ke semua pertandingan laga yang disertainya. Banyaklah ayam-ayam lain yang terkorban atau cedera disebabkan kegagahan ayam jaguh Pak Kaduk. Sehingga akhirnya hanya tinggal ayam Pak Kaduk dan ayam laga Raja bagi perlawanan akhir untuk menentukan johan keseluruhannya.
Raja telah melihat kebenaran kegagahan ayam Pak Kaduk. Beliau meyakini bahawa ayam laganya tidak mungkin dapat mengalahkan ayam Pak Kaduk. Beliau bimbang akan maruah dirinya di mata rakyat sekiranya ayam jaguh beliau dikalahkan oleh ayam jaguh Pak Kaduk, seorang rakyat biasa sahaja. Beliau juga merasa cemburu akan kehebatan ayam jaguh Pak Kaduk. Sebagai seorang raja, beliau berpandangan sepatutnya ayam jaguh segagah itu lebih layak dimiliki olehnya dari dimiliki oleh Pak Kaduk.
Beliau pun berfikir untuk mengadakan helah bagi mengelakkan kekalahan dan memliki ayam jaguh Pak Kaduk. Akhirnya beliau membuat satu perancangan. Bagi melaksanakan perancangannya beliau menjemput Pak Kaduk untuk menghadiri makan malam muhibah sehari sebelum perlawanan akhir dijalankan.
Pak Kaduk pun menghadiri makan malam berkenaan dengan penuh rasa bangga. Sebelum acara makan malam dimulakan, Raja berkata kepada Pak Kaduk “Pak Kaduk, esok ayam kamu dan ayam beta akan bertanding. Mahukah kamu bertaruh. Sekiranya ayam kamu menang beta akan kurniakan kamu sebidang tanah seluas tanah kamu sekarang ini berserta rumah baru. Tetapi jika kamu kalah, kamu harus menyerahkan tanah dan rumah kamu kepada beta dan kamu perlu berkhidmat untuk memelihara dan melatih ayam-ayam jaguh beta pula.” Pak Kaduk merasa gembira dengan tawaran berkenaan kerana beliau amat yakin akan kemampuan ayam jaguhnya untuk menang. Pak Kaduk terus sahaja bersetuju dengan taruhan itu.
Acara makan malam pun dimulakan dengan penuh kemeriahan. Pak Kaduk dilayan dengan penuh istimewa. Beliau menjamu selera dan menikmati minuman yang dihidangkan sehingga mabuk dan lupa diri.
Sebelum acara berakhir dan semua yang hadir kembali pulang. Raja sekali lagi berbicara dengan Pak kaduk “Wahai Pak kaduk! Sukakah kamu kalau negara kita ini menjadi makmur dan masyhur di seluruh ceruk rantau. Apabila negara ini dikenali, ramai orang akan datang berniaga ke sini. Negara kita akan makmur. Rakyat seperti kamu juga akan hidup senang.”
Pak Kaduk menjawab “Sudah pasti, tuanku. Lebih ramai orang datang ke sini. Lebih banyak pertandingan boleh hamba sertai. Hamba akan memenangi banyak pertandingan. Hamba akan mendapat lebih banyak hadiah. Hamba pun akan masyhur.” Pak Kaduk nampak bersemangat.
“Apakah kamu tidak mahu turut menyumbang dan berbakti bagi memasyhur dan memakmurkan negara kita ini”, tanya Raja lagi.
“Sudah tentu hamba mahu, tuanku”, sahut Pak Kaduk, “Derhakalah hamba ini jika enggan turut bersama untuk memasyhur dan memakmurkan negara kita.”
Raja lalu mencadangkan “Bagaimana kalau dicadangkan agar ayam jaguh kamu dijadikan milik negara. Betapa akan tandingkan ayam berkenaan dengan ayam jaguh-ayam jaguh milik raja dan putera raja dari negara lain. Beta yakin ayam jaguh kamu akan menang. Dengan kemenangan itu, beta akan mendapat pelbagai hadiah untuk membangun negara. Negara kita akan masyhur. Beta akan namakan ayam jaguh kamu itu dengan nama kamu – si Kaduk. Maka nama kamu juga menjadi masyhur di seluruh rantau ini.” Pak Kaduk terdiam sebentar. Pak Kaduk amat menyayangi ayamnya tapi ia sukar menolak permintaan Raja kerana kata-katanya sendiri tadi dan kerana tidak mahu mengingkari Raja.”
Raja berkata lagi “Kamu pandai melatih dan menjaga ayam jaguh. Beta akan mengganti ayam kamu dengan ayam beta. Kamu boleh melatih ayam itu untuk menjadi jaguh yang lain. Tidakkah ini sebagai tanda kesetiaan kamu pada negara?? Kamu sudah tua. Kalau tidak begini, bagaimana dapat kamu buktikan kesetiaan dan memberi sumbangan pada negara ini. Negara kita kecil. Kita harus membesarkannya untuk menjadi gagah agar tidak mudah digugat oleh musuh dari luar.”Raja bercakap panjang kepada Pak Kaduk dengan menyinggung perasaan patriotisme Pak Kaduk.
“Setia…. Berbakti untuk negara…. Negara yang makmur..” terngiang-ngiang kata berkenaan di telinga Pak kaduk. “Ahhh…. pantang Melayu menderhaka” kata Pak Kaduk di dalam hati. Beliau lalu berkata “Baiklah tuanku, hamba bersedia untuk menyerahkan ayam hamba ini untuk negara.”
Raja sungguh gembira. Ia lalu menghadiahkan ayam jaguhnya kepada Pak Kaduk sebagai ganti. Majlis pun berakhir. Semua yang hadir pulang ke tempat masing-masing untuk pertandingan akhir ayam jaguh kebangsaan pada esok hari.
Pada keesokan harinya, orang ramai berduyun-duyun mendatangi gelanggang pertandingan untuk menyaksikan pertandingan akhir. Teriakan “Kaduk!…Kaduk!…Kaduk!…Hidup Kaduk!!!”bersahut-sahutan dan bergempita. Orang ramai berteriak ‘Kaduk!’ kerana menyokong Pak Kaduk. Hulubalang dan pembesar Raja juga berteriak ‘Kaduk!’ kerana menyokong ayam baru si Raja yang telah dinamakan si Kaduk.
Pak Kaduk sungguh berbesar hati mendengar namanya diteriak dan disorak oleh orang ramai. Ia begitu gembira sehingga lupa diri dan lupa segala-galanya. Ia terlupa akan taruhannya dengan Raja. Ia terlupa akan pertukaran ayamnya dengan ayam Raja.
Apabila pertandingan akan bermula, Pak Kaduk dan Raja perlu menyerahkan ayam jaguh masing-masing ditangannya kepada para petugas digelanggang untuk melagakan ayam jaguh berkenaan. Ayam kemudian dilepaskan. Maka berlagalah kedua ayam dengan sengitnya.
“Kaduk!…Kaduk!…Kaduk!…Hidup Kaduk!!!”, bergempita sorakan penyokong Pak Kaduk dan penyokong si Kaduk.
Mendengar teriakan ‘Kaduk!’ semakin bergema, Pak Kaduk semakin bersemangat dan lupa diri. Ia melihat ayam laga yang telah diserahkan kepada Raja melanyak ayam laga yang lain. Ia terlupa bahawa ayam itu bukan lagi miliknya. Sorakan ‘Kaduk…Kaduk’ mengelirukannya. Akhirnya, si Kaduk menang dalam pertandingan. Semua yang hadir bersorakan “Hidup Kaduk!!!….. Kaduk menang!!!” Hulubalang dan pembesar istana meneriak ‘Kaduk!!’ kerana menyokong Raja atas kemenangan ayam barunya si Kaduk. Rakyak meneriak Kaduk kerana menyangka Pak Kaduk memang menang. Mereka tidak tahu apa yang berlaku antara Pak Kaduk dan Raja.
Pak Kaduk berlonjak kegembiraan atas kemenangan ayam yang bukan lagi miliknya. Ia melonjak kegembiraan kerana namanya disorak dan diteriak oleh orang ramai. Begitu kuat lonjakannya sehingga beliau tidak menyedari bahagian belakang seluarnya terkoyak yang menampakkan punggungnya.
Orang ramai mula tertawa melihat gelagat Pak Kaduk. Pak Kaduk makin gembira kerana menyangka orang ramai gembira atas kejayaannya. Perbuatan beliau berlonjak dengan seluar yang koyak berterusan sehingga beliau diejek oleh seorang budak “Pak Kaduk seluar koyak…Pak Kaduk seluar koyak!!”
Pak Kaduk lalu memeriksa seluarnya. Beliau merasa sungguh malu. Begitu malu, beliau berlari ke hutan untuk bersembunyi dari orang ramai.
Setelah beberapa hari barulah beliau secara bersembunyi kembali ke rumahnya. Malangnya tanah dan rumahnya telah dirampas oleh Raja. Barulah beliau teringat akan perjanjiannya dengan Raja.
Jiran-jirannya yang baru mengetahui kisah sebenar Pak Kaduk mula bercerita.. “Hai Pak Kaduk… Menang bersorak tapi kampung tergadai…”
Sejak dari hari itu, Pak Kaduk lenyap tidak tahu ke mana. Dikhabarkan Pak Kaduk masih hidup sehingga hari ni.
Sesiapa yang biasa menghadiri hari-hari perayaan, lihatlah di sekelilingnya. Orang tua-tua berkata, Pak Kaduk boleh dilihat dalam majlis sedemikian. Kalau nampak orang yang bersemangat berteriak “Kita Berjaya…. Kita Menang… Majulah kita..” sedangkan rumahnya tergadai, tanahnya hilang, maruah dan harga diri musnah, mungkin itulah Pak Kaduk atau keturunannya. – Sumber