Dari kiri: Ibrahim Azran, saya, Ustaz Fauzi, Dr Rosli Saludin (Raja Teromba), Fahmi Bahrudin.
Bismillah
PERNAHKAH anda mendapat bimbingan langsung daripada seseorang yang pakar dalam bidang?
Bayangkan, ada seorang tokoh hebat, membimbing diri kita luar dan dalam, dia tahu serba serbi berkenaan diri kita, dia suruh buat itu ini berdasarkan pengalaman dia.
Kita kena bagi laporan harian, mingguan atau tahunan atau mungkin setiap tiga jam dalam sehari, kita persembahkan laporan prestasi kita kepadanya.
Dia akan komen lagi itu dan ini, kita buat, dia puji, kita gembira.
Dia ajar lagi itu dan ini, dia kata kita akan lalui keadaan ini, cabaran ini, dan macam-macam lagi dia beritahu kita, dia minta kita buat persiapan, kita pun buat apa dia minta, kemudian kita bagi laporan progress, dan begitulah seterusnya.
Apabila kita lemah, kita ada masalah, kita jumpa dia, kita cerita masalah kita, dan sebelum kita minta dia selesaikan, kita fikir dulu apa penyelesaian, sebelum salahkan orang lain, kita salahkan diri kita dulu, kita muhasabah diri kita dan kemudian kita beritahu dia kita akan ambil langkah sekian sekian, kita minta pandangan dia.
Dengan sikap proaktif, belum sempat dia tanya progress kita, kita dah siap-siap buat laporan, kita selesaikan masalah sebelum kita jumpa dia.
Mentor ni pula jenis tahu kita luar dan dalam, boleh baca mimik muka kita. Dia boleh tahu kalau kita tipu. Laporan kita tu, kalau ada tipu sikit-sikit pada angka-angka tu, dia boleh tahu kita ni jujur atau tak. Dia boleh tahu kita ikut tak cakap dia atau sebenarnya kita hanya berlakon depan dia.
Begitulah seterusnya gambaran yang berlaku antara seorang mentee dan mentornya…
Bayangkan apa akan berlaku kepada mentee itu setelah beberapa tempoh…
Adakah mentee itu akan berjaya? Sudah tentu…
Kawan-kawan sekalian.
Orang kata, nak berjaya dalam apa sahaja, kita kena ada mentor. Namakanlah apa sahaja. Boleh jadi guru, coach, murabbi dan apa saja. You name it.
Tapi konsep ‘ada orang tunjuk ajar’ ini adalah sangat-sangat penting.
Saya dan kita dah laluinya.
Di rumah ketika kecil, kita ada ibu dan bapa. Merekalah guru kita.
Di sekolah, kita ada guru yang mengajar. Kawan-kawan yang mempengaruhi kita.
Di universiti. Di tempat kerja.
Dalam perniagaan, kita ada mentor atau sifu.
Dalam dakwah, kita ada murabbi.
Dalam segenap aspek kehidupan, dalam semua peringkat kehidupan, secara sedar atau tidak, kita sebenarnya menuntut dengan mentor kita.
Apa yang membezakan ialah sejauh manakah ia memberi kesan dalam hidup kita. Sejauh manakah kita betul-betul memanfaatkan sistem mentor itu. Sejauh manakah kita mentaati arahannya, meninggalkan pantang larangnya. Sejauh manakah kita meletakkan satu cita-cita, kita tunjuk kepada mentor dan kita serah diri bulat-bulat kepada mentor.
Sejauh manakah…
Banyak contoh dalam kehidupan saya yang boleh saya ceritakan. Saya berubah kerana mentor. Saya menjadi lebih baik kerana mentor.
Tak kisahlah siapa mentor dan dalam bidang apa.
Apa yang penting ialah saya berubah menjadi lebih baik.
Ada satu dialog yang saya masih ingat sampai sekarang ketika saya mula-mula ikut tarbiyah Isma.
Dalam satu daurah di Mesir, waktu itu saya baru saja menyertai Isma dan saya rasa diri saya masih banyak dosa dan tak mampu pikul amanah dakwah.
Saya luahkan perkara ini kepada Ustaz Fauzi Asmuni, yang memberikan muhadarah (pembentangan) ketika itu.
Apa jawab beliau? Dia kata, enta ikut je apa kata mas’ul (naqib usrah). Dia suruh baca Quran, nta baca. Dia suruh apa, nta buat. Insya-Allah boleh.
Kata-kata inilah yang membekas dalam diri saya hingga sekarang. Saya perlu mencari mentor yang betul dan saya hanya perlu ikut sahaja apa yang mentor suruh. Pada masa sama, saya diajar untuk tidak hanya menunggu arahan, tidak memberi laporan hanya ketika diminta. Tidak.
Saya perlu menetapkan sendiri apa matlamat saya, saya kongsi dengan mentor, apa dia ajar saya ikut. Dia pesan seminggu sekali kena bagi laporan, saya akan bagi laporan setiap minggu, sampai mentor naik bosan.
Inilah cara untuk saya berubah.
Saya fikir, hidup saya akan berubah secara total 100 peratus jika saya ada mentor dalam setiap perkara.
Bagaimana?
Jadikan Allah dan Rasulullah sebagai mentor hidup kita. Bayangkan banyak benda dalam hubungan mentor-mentee yang saya tulis di atas, diaplikasikan dalam hubungan kita dengan Allah dan Rasulullah.
Hakikatnya, Allah adalah Tuhan kita, Pencipta kita, serba mengetahui mengenai diri kita luar dan dalam. Solat adalah ‘sistem pelaporan’. Kalau nak sistematik lagi, kita tulis apa yang kita nak laporkan kepada Allah.
Kita baca Al-Quran, itulah kalam Allah. Dalam Al-Quran, kita akan dapat banyak nasihat dan pedoman berguna untuk diri kita.
Itulah antara bentuk mentoring antara kita dengan Allah.
Banyak sudah saya tulis. Saya harap pembaca semua faham apa maksud yang ingin saya sampaikan.
Mungkin kerana saya ini people oriented. Saya mudah terkesan dengan orang lain. Gabungkan dengan gelojak dalam jiwa ini yang membuak-buak. Apabila dua perkara ini diadun dengan sebati, ia akan menghasilkan sesuatu yang lebih mantap.
“Ikut saja apa kata mentor, jadi proaktif, insya-Allah kita akan berjaya.”
“Ikut saja kata Allah, buat apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang, insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan akhirat.”
Serius cakap, inilah antara rahsia kejayaan Rasulullah. Inilah juga rahsia kejayaan para sahabat Nabi, yang menjadikan Rasulullah sebagai mentor. Mereka tak salah pilih mentor dan mereka betul-betul laksanakan apa kata mentor.
Akhirnya, tadabburlah Al-Quran dan hadis. Laksanakan betul-betul macam sistem mentor-mentee.
Sekian sahaja. Kongsikan jika anda rasa ada manfaat.
Mohd Firdaus bin Salleh Hudin
#askfirdaus
#ismaweb
#ismagombak
#greenmatrix