Bismillah.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga baginda.
Susah potong air manis
Kenapa susah? Boleh ke tidak? Boleh. Tapi kenapa masih minum? Sebab tak bersungguh kawal nafsu. Nak ke tak nak? Nak. Apa lagi alasan? Tak ada alasan, lebih kepada tidak mengawal diri. Kenapa tak kawal diri? Tak tahu.
Baik. Selepas ini, kalau nak berhenti minum air manis, berhentilah. Minum air kosong banyak-banyak. Jangan minta air manis. Jangan tuang air manis. Cukup dengan air kosong. Sihat. Ingat, diri kita pada masa hadapan akan berterima kasih pada diri kita hari ini kerana bertindak demi kesihatan.
Morning routine
Tajuk ‘morning routine’ ini saya sudah baca sejak sekian lama. Tapi saya tak tergerak untuk buat apa-apa. Kalau saya bertindak pun, ia tidak berterusan.
Terkini, saya agak terkesan ketika membaca satu buku pdf berkenaan morning routine. Katanya, jadikan waktu pagi (bangun awal 10 minit seperti biasa) untuk buat sesuatu yang memang kita inginkan untuk perbaiki diri kita.
Contohnya, kita membaca buku yang akan menjadikan kita mencapai matlamat kita. Kita ada matlamat dalam masa 1 tahun. Kita pecahkan ikut tempoh 3 bulan, kemudian satu bulan, satu minggu dan akhir sekali satu hari. Kita buat satu usaha yang akan membawa kita kepada matlamat 1 tahun itu pada setiap pagi. Usaha ini nampak kecil tapi lambat laun ia akan membawa kepada hasil yang besar, mendekatkan kita matlamat yang kita gariskan tadi untuk 1 tahun.
Konsep ini bagi saya akan membuahkan hasil dan saya tahu saya perlu bangun lebih awal dan mencipta waktu untuk saya melaksanakan tindakan itu, seterusnya saya akan mencapai matlamat 1 tahun itu.
Apakah matlamat 1 tahun itu? Nantikan.
Larian harian
Pagi tadi, saya berniat untuk berlari dalam tempoh singkat dan jarak dekat. Namun, ketika berlari, saya buat keputusan untuk lari sejauh 5 km. Saya berasa puas dan dapat rasa nikmat larian. Baju basah. Peluh penuh muka, menitik-nitik ke lantai.
Mungkin ini yang dimaksudkan sebagai runner’s high. Apabila mencapai satu tahap ketika berlari, kita berasa seronok dan enjoy dan mahu berlari lagi dan lagi.
Tapi, saya harus beringat agar tidak cedera. Slow jog di awal larian memang sangat membantu.
Hari ini hari ke-27. Lagi 3 hari akan genap larian 30 hari. Saya berfikir untuk membuat video bertajuk lebih kurang begini, ‘Running Streak 30 days, what benefit i get?’
Saya senaraikan beberapa manfaat yang saya dapat dengan berlari setiap hari:
- Rasa lebih sihat. Jantung, kaki, pernafasan. Tak cepat penat.
- Senang tidur dan senang bangun pagi.
- Lebih bermotivasi untuk berlari. Sekarang rasa larian adalah sebahagian daripada hidup. Hidup tak lengkap tanpa larian.
- Kaki rasa lenguh tapi dah terbiasa dan okay je kalau lari.
- Sentiasa bersedia untuk berlari jarak jauh. Paling penting kena slow run dulu, jangan terus memecut di awal larian.
- Berjaya ubah mindset bahawa sebenarnya saya boleh buat kalau saya nak. Tiada yang mustahil dalam hidup ini, nak tak nak je.
- Rasa nak teruskan larian setiap hari sampai bila-bila.
OMAD
Sekarang, OMAD saya agak tak terkawal. Tapi yang berlalu, kita biarkan ia berlalu. Saya perlu kembali ke laluan asal. Maka, saya pun menggunakan apps Zero untuk catat puasa saya. Saya nak berpuasa yang keadaan sedar. Saya nak makan dalam keadaan sedar. Saya kena fokus pada puasa. Kerana dengan puasa, saya akan dapat manfaat kesihatan dan dapat turunkan berat badan.
Saya makan pagi ini dan sepatutnya saya akan makan semula esok pagi atau esok tengah hari. Boleh ke tak boleh? Saya cuba. Saya juga kena kemas kini video youtube OMAD.
Penutup
Setakat ini sahaja perkongsian pada hari ini. Ia banyak membantu untuk ‘mental clarity’ saya. Teruskan perjuangan. Salam Pembebasan Palestin.
Sekian, terima kasih.
Firdaus.
11.15 pagi.
13 November 2023.
Seremban.