Menulis Setiap Hari (Kita mula balik Day 1)

Bismillah.
Segala syukur bagi Allah, Tuhan Pemberi Nikmat yang tidak putus-putus.

Kita mula balik menulis tiap hari

Sebelum ini, saya berjaya memecah kebuntuan dalam amalan penulisan dengan kejayaan menulis di blog ini setiap hari. Sebenarnya, saya sudah lama berazam untuk menulis setiap hari, mengulas isu semasa dan apa-apa perkongsian dalam bentuk penulisan. Namun, saya sering bertangguh. Akhirnya, pada minggu lepas saya berjaya juga menulis. Tapi, saya hanya menulis empat artikel sahaja dan ia terhenti beberapa hari.

Sehinggalah hari ini, saya membuka laptop ini dan kembali menulis di blog. Jadi, saya janji saya akan menulis setiap hari kerana saya tahu terdapat banyak faedah menulis. Ayat kedua dalam Surah Al-Qalam sentiasa menjadi motivasi saya untuk menulis. “Demi pen dan demi apa yang telah ditulis.” Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan pen dan penulisan. Ini menunjukkan kepentingan penulisan dan manfaatnya yang banyak untuk umat manusia.

Larian hari ke-25

Semalam saya meneruskan larian harian yang ke-25. Pejam celik, pejam celik, sekejap saja dah 25 hari. Saya bersyukur kerana saya berjaya melakukannya setiap hari. Bezanya adalah pada masa dan jarak. Ada hari jaraknya sedikit, ada hari jaraknya banyak. Paling penting, saya tetap berlari.

Semalam saya mencabar diri saya untuk berlari jarak jauh. Slow run. Saya berjaya berlari sejauh 15.5 km dalam masa 2 jam 15 minit. Ini adalah satu pencapaian besar. Menariknya, kaki saya tidak mengalami kecederaan dan rasa lenguh yang teruk. Hanya lenguh-lenguh biasa. Jika sebelum-sebelum ini, tiap kali saya berlari jarak jauh, sudah pasti kaki akan berasa sakit dan lenguh teruk dan menyebabkan saya berehat daripada larian untuk dua tiga hari.

Dari sudut tubuh badan fizikal, larian tiap hari tidak memberikan apa-apa kesan. Maksud saya, perut saya tidak mengempis pun. Saya tahu larian adalah senaman kardio. Ia mampu menguatkan jantung dan sistem pernafasan. Tapi larian tidak mampu membakar lemak dengan banyak hingga menyebabkan saya kurus.

Saya sedar perkara itu. Saya tahu cara untuk kurus ialah dengan defisit kalori dan menjaga makan. Oleh itu, saya tetap akan berlari setiap hari dan berharap badan saya akan lebih sihat dan jantung saya jadi lebih kuat. Kalau nak kurus, saya wajib kawal pemakanan. Itu caranya.

Isu Palestin

Semalam, saya menjadi hos untuk rancangan Terkini bersama tetamu Prof Dr Azmi Hassan bagi membicarakan tajuk Taufan Al-Aqsa: Perang Sampai Merdeka.

Pelbagai perkara dibincangkan. Saya tidak mampu untuk menghuraikan satu persatu isi perbincangan di sini. Saya juga tak mampu menonton video-video yang berlegar di media sosial. Rasa lemah dan bersalah.

Penutup

Setakat ini sahaja perkongsian hari ini. Saya akan tulis lagi esok.

Firdaus.
7.05 pagi.
12 November 2023.
Kampung Pandan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *