Kenapa saya suka menulis?

Walaupun agak bising, Perpustakaan Awam Bangi tetap saya kunjungi.

SAYA mula belajar menulis blog ketika zaman belajar di universiti. Sebelum itu, saya hanya menulis di buku nota sekolah. Saya catat isi-isi penting kuliah Maghrib di zaman sekolah menengah. Di alam pekerjaan, kerja saya memang menulis. Menulis artikel, berita dan kenyataan media. Saya juga menulis laporan program yang saya hadiri. Blog ini wujud selepas saya menyertai satu kursus perniagaan.

Ada banyak sebab mengapa saya suka menulis. Antaranya ialah:

  1. Mengosongkan minda yang berserabut. Biasanya pada waktu pagi, saya akan menulis jurnal. Habit morning pages ini saya belajar hasil bacaan di internet. Saya bercakap dengan diri saya jika saya ada masalah. Bercakap dalam bentuk penulisan. Saya dapat fokus kepada perkara sebenar yang bermain di fikiran. Ada kala saya terus mendapat jawapan kepada persoalan yang saya fikirkan. Ada kala saya mendapat motivasi untuk bertindak. Inilah terapi diri saya selain berlari dan bersukan mengeluarkan peluh.
  2. Saya menulis supaya orang lain kenal saya seperti yang saya mahukan. Alasan ini agak pelik tapi sebenarnya betul dan penting. Bayangkan orang lain menulis mengenai diri kita atau produk perniagaan kita. Sudah pasti kita tidak suka apabila perkara yang ditulis itu tidak betul dan tidak tepat. Adalah lebih baik jika kita sendiri tulis perkara sebenar mengenai diri kita kerana kita lebih mengetahui diri kita berbanding orang lain.
  3. Menyampaikan idea dan buah fikiran. Banyak idea yang tidak betul dan mendapat sambutan ramai. Oleh itu, perkara yang betul perlu disebarkan lebih luas. Satu pepatah Arab mengatakan bahawa kejahatan itu tersebar luas apabila orang jahat lebih banyak bertindak berbanding orang baik. Orang baik lebih suka berdiam diri dan membiarkan sahaja kejahatan tersebar luas. Perkara ini perlu diubah. Dalam Islam, konsep amar makruf nahi mungkar perlu diamalkan.
  4. Penulisan adalah alat pemasaran. Dunia marketing tidak boleh lari daripada penulisan. Saya masih belajar ilmu menulis copywriting terbaik.

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Kongsikan jika bermanfaat.

Nota: Siapa suka menulis, kita geng!

Firdaus
Askfirdaus.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *