Dua acara larian awal 2023

Gambar diambil selepas berjaya lari 10 km dalam masa 65 minit pada 31 Januari 2023 di Taman Pudu Ulu.

PADA awal tahun ini, saya telah mendaftar dalam dua acara larian jarak jauh iaitu Alor Setar Half Marathon 2023 yang bakal berlangsung pada 4 Mac dan Twincity Marathon 2023 pada 12 Mac.

Di Alor Setar, saya akan berlari sejauh 21 km. Di Cyberjaya dan Putrajaya pula, saya akan berlari sejauh 42 km.

Acara 21 km atau half marathon (HM) sudah pernah saya sertai iaitu pada 25 September 2022 di Petaling Jaya Half Marathon (PJHM). Jadi, di Alor Setar nanti ialah kali kedua penyertaan saya.

Larian 42 km atau full marathon (FM) di Cyberjaya pula adalah acara maraton pertama dalam hidup saya.

Kini, saya sedang giat melakukan latihan. Larian terjauh setakat hari ini ialah 15 km yang dilakukan dalam tempoh 2 jam.

Saya perlu lakukan latihan larian selama 3 jam, 4 jam, 5 jam dan 6 jam. Tanpa latihan, saya berasa kurang yakin. Jadi, dalam masa yang berbaki lebih kurang sebulan satu minggu ini, saya perlu memanfatkan masa untuk terus berlatih dan pada masa sama, saya perlu berhati-hati mengelakkan sebarang kecederaan.

Jika saya berlari 7 km dalam masa 1 jam, ertinya saya perlukan 3 jam untuk menghabiskan jarak 21 km, dan 6 jam bagi jarak 42 km. 6 jam bukan tempoh masa yang pendek. Jika saya berlari lebih laju seperti 10 km dalam masa 1 jam, saya akan menamatkan larian 42 km dalam masa 4 jam lebih.

Latihan ini amat lasak bagi fizikal terutamanya kaki. Begitu juga untuk jantung yang perlu bekerja kuat untuk mengepam darah bagi membekalkan oksigen ke seluruh anggota badan. Mental juga perlu tahan lasak agar tidak mudah mengalah.

Saya mengambil ibarat gunung besar yang ada di hadapan yang perlu saya daki hingga ke puncak. Saya tidak boleh mengalah dan berputus asa. Saya perlu berusaha keras bagi mencapai cita-cita menawan puncak gunung sejauh 42 km itu.

Rasa macam mustahil kerana tidak pernah buat. Tapi apabila saya melihat ramai orang telah berjaya menamatkan larian 42 km, saya rasa saya juga mampu melakukannya. Tiada yang mustahil.

Yakin diri, percaya pada diri. Bina kemahuan yang tinggi untuk menamatkan larian. Terus berlatih dan berhati-hati agar tiada kecederaan berlaku. Latihan kekuatan otot juga perlu dilakukan. Ini penting untuk menambah kelajuan (pace).

Kenapa saya sertai dua larian ini? Ini kerana tanpa acara larian, saya tidak mempunyai motivasi kuat untuk berlari. Lama kelamaan, badan menjadi lesu kerana tidak bersukan. Saya juga berazam untuk menyertai acara maraton kedua iaitu Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2023 (KLSCM2023) yang diadakan pada 30 September dan 1 Oktober nanti.

Setakat ini dahulu perkongsian saya.

Jumpa lagi.

Pautan pendaftaran belum dibuka. Dah buka nanti, kita daftar ya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *