Menulis Setiap Hari: Hari Kedua

Bismillah.
Ini hari kedua menulis di blog dalam cabaran menulis setiap hari.
Saya menulis setiap hari kerana saya nak.

Hafazan Al-Quran

Pagi ini saya telah mengulang hafazan Surah Al-Mursalat. Petang atau malam nanti saya cuba menghafaz muka surat pertama Surah At-Tahrim.

Saya menghafaz Al-Quran kerana saya nak. Saya tidak menghafaz untuk orang lain. I am doing this for me.

Sebelum ini saya ada kelas tasmik mingguan tapi saya tak dapat nak teruskan. Saya beri alasan saya sibuk. Saya terkejar untuk capai matlamat hafazan. Saya rasa tak seronok dan rasa terbeban. Jadi saya telah batalkan kelas dan saya akan berusaha sendiri mengikut pace sendiri dan mengikut matlamat sendiri. No rush.

Perkara yang seronok dalam menghafaz Al-Quran ialah kita dapat mengulang hafazan dalam solat. Ia adalah satu perkara yang sangat indah. Lebih-lebih lagi ketika solat tahajud.

Perkara lain ialah dapat memahami apa yang dimaksudkan dalam ayat-ayat suci itu. Tapi saya kena rajin untuk membuka Quran terjemahan atau kitab tafsir untuk meneliti maksudnya.

Bisnes Kereta Sewa

Bisnes kereta sewa saya telah mulakan pada Ogos 2016. Saya bermula dengan menulis di blogspot. Kemudian saya membuat laman web rasmi iaitu carrentalampang.com. Setelah berlalu satu masa, saya ditimpa dengan banyak masalah dalam perniagaan kereta sewa. Paling menyedihkan ialah satu kereta pacuan empat roda telah hilang dicuri dan saya terpaksa menanggung bayaran bulanan kepada pihak bank. Ada lagi 8 tahun. Setiap bulan saya perlu peruntukkan sejumlah wang yang besar untuk ini. Kedua, satu lagi kereta telah ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dengan kes pengedaran dadah. Ada penyewa yang menyewa kereta saya untuk tujuan ini. Menurut maklumat polis, kereta ini hanya akan dikeluarkan setelah kes selesai di mahkamah. Sepanjang tempoh itu, saya bertanggungjawab membayar loan bank. Ada lagi 2 tahun lebih kurang.

Jadi, cukup-cukuplah beban ini yang perlu saya tanggung dalam tempoh 8 tahun akan datang. Seterusnya, saya bercadang untuk mengecilkan operasi, mengurangkan jumlah kereta bagi mengurangkan risiko masalah. Saya tidak boleh terus tutup bisnes ini kerana ia masih boleh menjana pendapatan walaupun sedikit. Paling kurang, dapatlah saya bayar hutang-hutang yang ada.

Orang lain berniaga untuk dapat pendapatan lebih. Saya pula berniaga untuk dapat hutang. Tak mengapalah, saya mengambil sikap positif dan mungkin ada hikmah dan pengajaran yang akan saya dapat akan datang.

Jadi, pada bulan November ini, saya akan melepaskan empat kereta lagi kepada pemilik dan bakinya saya pegang untuk terus beroperasi kecil-kecilan. Diharap tiada lagi ‘penyewa dari neraka’ yang singgah.

Larian dan OMAD

Saya perlu meneruskan dua aktiviti ini untuk tujuan menyihatkan badan. Kalau saya hanya mengharapkan penurunan berat badan dan membuang boroi semata-mata, saya akan kecewa kerana saya tidak akan berjaya dalam masa singkat.

Saya perlu konsisten selama berbulan-bulan untuk mendapatkan hasil. Jika saya berputus asa sekarang, saya akan gagal. Jadi, saya perlu meletakkan fokus saya pada progres, bukannya pada hasil.

Pejam celik, pejam celik, saya sudah berlari setiap hari selama 17 hari dan membuat OMAD selama 12 hari. Pantas masa berlalu. Saya perlu teruskan paling kurang tiga bulan untuk betul-betul menampakkan hasil pada tubuh badan saya. Tapi jika saya teruskan untuk tempoh 12 bulan, mesti hasilnya lebih padu dan mantap.

TV Pertiwi

Tidak banyak yang boleh saya tulis buat masa ini berkenaan TV Pertiwi. Inilah tempat saya bekerja dan menyumbang tenaga dan kepakaran. Saya tidak menyangka akan bekerja dalam bidang media kerana saya lulusan bidang agama di Universiti Al-Azhar.

Orang kata, jangan biarkan orang lain tentukan masa depan hidup kita. Tapi memang saya sendiri ditentukan oleh majikan saya untuk kerja di mana. Tak boleh lari. Tapi saya faham kerana ini juga adalah pilihan saya sendiri. Tawaran yang diberi, saya yang terima.

Bidang media adalah satu bidang strategik dan memerlukan kepakaran tinggi. Saya bukanlah pakar bidang tapi saya masih berusaha untuk melakukan yang terbaik di TV Pertiwi.

Setakat ini sahaja yang saya nak tulis berkenaan TV Pertiwi. Selebihnya, saya perlu buktikan dengan tindakan.

Motivasi

Tadi saya tonton satu video di youtube. Individu dalam video itu mengulas kenapa biasanya kita akan malas untuk bangun dan turun katil untuk pergi kerja? Jawabnya ialah kerana kita pergi kerja untuk orang lain. Untuk bos. Untuk syarikat. Kita tak pergi kerja untuk manfaat diri sendiri.

Jadi, dia mencadangkan supaya kita bangun lebih awal dan lakukan sesuatu yang memang diri kita sendiri mahukan. Manfaatnya kita sendiri akan dapat. Dengan itu, kita akan lebih senang untuk turun katil dan melakukan perkara tersebut. Sebab memang kita yang nak buat perkara itu.

Oleh itu, saya mendapat dua pengajaran di sini. Pertama, saya kena bangun awal dan buat perkara-perkara yang memang saya nak dan ia beri manfaat kepada diri saya, contohnya bangun awal solat tahajud dan tilawah al-Quran. Tahajud dan tilawah itu memang saya nak dan saya tahu ia mempunyai manfaat besar untuk diri saya.

Kedua, saya kena ubah cara fikir saya bahawa pekerjaan saya bukan untuk bos atau majikan saya. Sebaliknya ia akan memberi manfaat dan kebaikan kepada diri saya.

Penutup

Kesimpulannya, ada lima perkara yang saya tulis pada hari ini. Semoga ada manfaatnya dan semoga saya menulis lagi esok. Jumpa lagi 🙂

Firdaus.
10.22 pagi.
3 November 2023.
Bandar Baru Bangi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *