JAGA MASA TUAN-TUAN (Kepentingan Menepati Masa Bagi Peniaga)

PERNAH beberapa kali, saya membatalkan tempahan pelanggan yang tidak muncul-muncul pada waktu serahan kereta. Berjanji pada waktu sekian sekian. Kemudian tidak muncul-muncul. Apabila dihubungi, tidak menjawab dengan baik berapa minit lagi yang diperlukan.

Akhirnya saya meminta maaf dan membatalkan tempahannya kerana tidak tahan dengan sikapnya itu. Bayangkan jika hendak ambil kereta pun berlengah, bagaimana pula ketika memulangkan kereta nanti? Saya tak mahu menunggu orang kerana penantian itu penyeksaan!

Menepati masa adalah satu sikap dan akhlak yang disukai semua orang. Kita sendiri akan berpuas hati dengan diri sendiri. Apatah lagi orang lain yang berurusan dengan kita. Semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Memang mudah berjanji pada waktu sekian sekian tapi tak semua orang boleh menepatinya. Kenapa? Bagi saya, ini adalah soal sikap yang perlu dididik sejak kecil.

Kemahiran pengurusan masa adalah kemahiran yang wajib dipelajari oleh semua orang, lebih-lebih lagi para peniaga. Membuat to-do list, not-to-do list, meletakkan keutamaan (priority), konsep podomoro, merancang jadual harian dan mingguan serta pelbagai lagi kemahiran yang boleh dipelajari untuk menjadikan kita seorang yang amat menitikberatkan soal masa.

Saya bukan nak ajar cara urus masa. Saya cuma nak sampaikan bahawa sikap menepati masa adalah penting dalam bisnes kita.

Hakikatnya, bukan setiap waktu kita boleh tepati masa, kerana kita juga manusia. Tidak sempurna. Namun, jika kita pandai berkomunikasi dengan baik dengan memaklumkan kelewatan lebih awal, memohon maaf atas kelewatan, berikan alasan munasabah, memberikan bukti kenapa lewat, pihak satu lagi tentu mudah untuk berlapang dada dan tidak jadi untuk marah.

Apa yang lebih penting ialah kita berfikir masak-masak sebelum berjanji itu dan ini, dan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menepatinya. Sikap bertangguh adalah sikap buruk yang wajib dinyahkan daripada kamus hidup kita.

Firdaus
AskFirdaus.com
CarRentalAmpang.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *