Bismillah. Tajuk ini agak menarik untuk dibincangkan. Semua orang mahu memiliki rumah. Tapi ramai juga mengelak untuk berbincang lebih lanjut mengenai pembelian rumah. Kenapa?
(Ada berita baik di bawah, baca sampai habis)
Rumah adalah perkara asas dalam hidup semua orang. Biasa kita dengar, suami selaku ketua keluarga, kalau tak dapat beli rumah pun, menyewa sudah cukup. Asalkan dapat menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk keluarga.
Semua orang tahu, pembelian rumah adalah perkara yang besar dalam hidup. Ia menyentuh soal gaji. Sebelum dan selepas beli, ia memberi kesan besar kepada aliran tunai bulanan kita. Adakah kita memiliki purchasing power dalam bentuk simpanan tunai yang banyak, sebanyak 10% hingga 15% daripada harga rumah? Adakah kita memiliki holding power bagi memastikan kita cukup simpanan bagi mampu membayar hutang bank setiap bulan?
Akan tetapi, jika dilihat dari sudut keuntungan jangka masa panjang, sudah tentu ia satu pelaburan yang sangat berbaloi.
Saya tidak menafikan tazkirah dari sudut tarbawi akan kepentingan memiliki istana di dalam syurga, dengan berusaha keras berkhidmat untuk agama di dunia ini. Saya yakin kita semua cukup faham berkenaan perkara itu. Di sini saya berbicara secara telus, pendakwah manakah yang tidak mahu memiliki rumah di dunia ini, yang mahu menyediakan rumah yang terbaik untuk diri dan keluarga tersayang?
Pendakwah mana yang tidak mahu profil kewangannya di status yang baik sehingga mampu menyumbang dengan baik kepada ummah? Menyumbang dalam keadaan paling baik dari segi kewangan, fizikal, mental, emosi dan sebagainya, kerana ramai orang yang tidak celik pengurusan kewangan dan akhirnya hidup dalam kesusahan dan tekanan.
Panjang betul penafian (disclaimer) di atas.
Berbalik kepada tajuk di atas, ya betul, pembelian rumah adalah pelaburan yang mahal dan sangat panjang. Tapi bukanlah terlalu panjang hingga kita tak boleh membuat kira-kira dan tidak boleh meletakkan sasaran mengikut tahun.
Langkah seribu bermula dengan langkah pertama. Langkah 10 tahun mahupun 20 tahun, bermula dengan langkah kita pada hari pertama iaitu hari ini, jika kita mula bertindak hari ini.
Bagaimana membeli rumah? Di mana kita bermula?
Apabila kita bertanya soalan ini, bukanlah kita terus boleh membeli rumah pada hari yang sama atau keesokan hari kecuali kita memiliki simpanan tunai yang cukup banyak.
Antara yang boleh kita lakukan ialah dengan menjadikan pembelian rumah sebagai satu sasaran dalam hidup. Mungkin 5 tahun atau 10 tahun lagi. Ia satu tempoh yang tidak lama sebenarnya. Sebaiknya, letakkan ia sebagai sasaran dalam hidup. Apabila sudah menjadi sasaran yang serius untuk kita capai, barulah akan ada tindakan susulan.
Kita mulakan dengan membuat kira-kira DSR kita. DSR ialah singkatan kepada Debit Service Ratio. Ertinya, berapa peratuskah daripada gaji kita, yang kita boleh berhutang dengan bank setiap bulan.
Cara kira DSR: Komitmen semasa bulanan (pembiayaan kereta, kad kredit dan lain-lain), dibahagi dengan gaji bulanan kita, darab dengan 100 untuk dapatkan peratusan.
Saya buat contoh mudah, kiraan ini tak semestinya tepat, bergantung kepada kelulusan bank dan banyak faktor lain:
Gaji = RM10,000.
60% maksimum kita boleh berhutang = RM6,000
(Lain bank, lain peratusan DSR yang diluluskan. Lain orang, lain gaji. Setiap orang berbeza)
Jika kita sudah memiliki hutang bank dan perlu membayar RM5,000 setiap bulan (mungkin beli kereta mewah beberapa buah), jadi kita hanya boleh menambah hutang sebanyak RM1,000. Jadi, rumah yang boleh kita beli secara berhutang dengan bank bernilai lebih kurang RM200,000.
Jika kita ingin membeli rumah yang lebih mahal, maka kita perlu menjual sebahagian kereta mewah itu menjadikan komitmen semasa atau hutang semasa kita lebih rendah.
Selepas kita tahu status semasa DSR, barulah kita melaksanakan tindakan seterusnya sama ada mengurangkan komitmen semasa atau menambah pendapatan atau mula membuat tabungan bagi bayaran deposit.
Nampak tak? Bermula dengan menetapkan sasaran, kita akan mula bertindak satu per satu.
Belum lagi bincang soal jenis rumah, keluasannya, lokasi dan lain-lain. Kita sediakan dulu profil kewangan kita.
Saya sudah tahu perkara ini lama dahulu tapi saya tidak bersungguh-sungguh dengan sasaran tersebut. Akhirnya, impian tinggal impian. Tiada tindakan susulan. Jika kita tidak meletakkan sasaran, boleh jadi kita akan kekal di takuk sama 5 tahun atau 10 tahun lagi.
Ingat, langkah seribu bermula dengan langkah pertama. Perlahan-lahan kayuh.
Di sini saya ingin membuat satu pengumuman (berita baik):
Saya telah berdaftar sebagai perunding hartanah di bawah syarikat agensi Azmi & Co. Kenapa? Kerana saya ingin belajar mengenai pelaburan hartanah. Kerana saya ingin mula melabur dalam jangka masa panjang. Dengan ilmu yang ada, saya akan mempraktikkannya untuk diri sendiri.
Pada masa sama, saya juga ingin membantu anda dan kenalan-kenalan saya, untuk mempunyai impian seperti saya. Kita mencipta masa depan kita bersama.
Jika ada yang berminat untuk berbincang lebih lanjut mengenai impian pembelian hartanah 5 tahun hingga 10 tahun atau 20 tahun lagi, boleh hubungi saya. Jika ada yang ingin saya bantu untuk penjualan hartanah, juga boleh hubungi saya.
Setakat ini dahulu perkongsian saya. Kongsikan jika bermanfaat.
Mohd Firdaus Salleh Hudin
6.06 pagi
28 Oktober 2020
www.askfirdaus.com
www.carrentalampang.com