Bismillah.
Banyak perkara berlaku hari ini.
Banyak juga perkara bermain di fikiran.
Berlari setiap hari
Hari ini saya berjaya meneruskan larian setiap hari buat kali ke-16. Maksudnya dalam tempoh 16 hari, saya sudah berlari setiap hari.
Pada 7 hari pertama, saya berlari selama 30 minit. Jaraknya lebih 3km. Pada 7 hari berikutnya, saya berlari sejauh 5km. Masa yang diambil antara 30 minit hingga 45 minit. Hari ini ialah hari kedua dalam minggu ketiga. Pada minggu ketiga, saya berlari selama 30 minit sahaja. Ia bertujuan untuk memberikan kerehatan kepada kaki. Kaki perlukan rehat, sebab itu saya kurangkan tempoh larian kepada 30 minit sahaja. Saya berniat untuk berlari setiap hari dalam tempoh panjang, bertahun-tahun lamanya jika keadaan mengizinkan. Saya tidak mahu rutin larian harian ini terhenti disebabkan faktor kecederaan atau malas berlari.
Saya berkongsi gambar dan catatan larian di akaun tiktok.
OMAD setiap hari
Hari ini ialah hari ke-11 saya mengamalkan diet intermittent fasting, 23 jam puasa, 1 jam tidak berpuasa. Maksudnya saya hanya makan satu kali sehari.
Saya melakukan OMAD kerana saya ingin sihat dan mengempiskan perut. Pada tahun lepas, saya berjaya OMAD dalam tempoh sebulan lebih dan saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 70 kg kepada 64 kg. Enam kilo berat hilang dalam masa sebulan dua.
Kini, berat saya naik semula menjadi 72.7 kg dan saya mengambil keputusan untuk kembali mengamalkan OMAD untuk tujuan sihatkan badan dan mengempiskan perut.
Saya masih belum betul-betul menjaga apa yang saya makan. Saya hanya berjaya mengawal waktu makan saya iaitu pada waktu tengah hari sahaja.
Isnin lepas, berat saya 70.9 kg. Ada penurunan sebanyak 1.8 kg. Pada 23 Oktober, berat saya 72.7 kg. Penurunan ini walaupun nampak banyak, tapi tidak menunjukkan perubahan pada perut saya. Ertinya, saya perlu buang lebih banyak berat badan untuk melihat perubahan pada tubuh badan saya terutamanya bahagian perut.
Kombinasi larian dan OMAD
Saya mengharapkan keadaan yang lebih baik pada tubuh badan saya dari sudut kesihatan dan fizikal luaran melalui dua kombinasi usaha ini. Saya sudah lama berazam untuk jadi lebih aktif, sihat dan kurus tapi saya tidak bertindak. Akhirnya baru-baru ini, saya memulakan langkah dengan melakukan larian harian, kemudian usaha ini diikuti dengan OMAD.
Penulisan harian
Hari ini, saya juga memanfaatkan momentum yang ada dengan menghidupkan rutin harian terkini iaitu menulis. Saya menulis di blog ini untuk tatapan umum segala apa yang terlintas di fikiran saya. Boleh jadi isu semasa, urusan peribadi, urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Asalkan saya menulis setiap hari.
Mengapa? Hal ini kerana saya tahu amalan menulis ini mempunyai banyak faedah terutamanya pada pemikiran saya. Cara fikir akan lebih tersusun. Saya akan lebih ‘lega’ kerana dapat meluahkan sesuatu yang terbuku dalam bentuk penulisan.
Keadaan ini sama seperti berlari setiap hari. Selain mengeluarkan peluh, badan saya dapat menerbitkan hormon gembira iaitu dopamines dan endorphines.
Saya kira dengan menulis juga akan menyebabkan mental saya sihat dan saya akan bertambah ilmu dengan menulis sesuatu perkongsian.
Saya tidak boleh mengharapkan kesempurnaan dalam penulisan kerana kesempurnaan bukan objektif yang perlu dicapai. Objektif yang sepatutnya dikejar ialah menulis itu sendiri. Tak kisah topik apa sekalipun, asalkan menulis.
Mengemas dapur
Sebenarnya, saya juga telah memulakan rutin mengemas dapur setiap kali saya balik ke rumah dari tempat kerja. Disebabkan saya tidak boleh makan malam kerana OMAD, saya tetap ke dapur dan perkara wajib saya buat ialah membuang plastik sampah yang sudah penuh atau separa penuh, kemudian membasuh pinggan mangkuk dalam sinki dan menyapu lantai dapur. Jika saya ada masa, saya akan kemas meja makan sekali.
Mungkin ada pembaca yang berasa pelik dan janggal dengan habit ini. Tapi saya melakukannya kerana itu antara cara saya berkhidmat kepada keluarga, di samping dapat mengeluarkan sedikit peluh. Tapi, saya tidak mendokumenkan aktiviti ini seperti larian di tiktok dan OMAD di youtube.
Rutin lain
Ada lagi beberapa aktiviti yang saya mahu jadikannya sebagai rutin harian. Tapi selagi saya belum menjadikannya sebagai rutin, saya berpada dengan 3 rutin harian ini dahulu.
Penutup
Kesimpulannya, hari ini saya telah memulakan rutin harian menulis di blog. Semoga pada hari-hari mendatang, saya boleh menulis lebih banyak perkara bermanfaat untuk tatapan pembaca sekalian.
Sekian, terima kasih.
Firdaus.
4.25 petang.
2 November 2023.
Bandar Baru Bangi.