Bismillah.
Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam.
Israel pandai berniaga?
Saya terbaca satu posting di X berkenaan isu boikot dan ada satu fakta yang mengatakan bahawa orang Israel pandai berniaga. Buktinya, terlalu banyak syarikat besar yang pro-Israel. Kemudian ada pihak mengatakan bahawa orang Islam terutamanya orang Melayu tidak pandai berniaga. Kemudian ada pihak lain membalas dengan mengatakan bahawa sebenarnya ada banyak bukti kejayaan anak Melayu dalam perniagaan.
Ada satu komen yang menarik minat saya ialah komen itu berkata, orang Melayu tidak berjaya kerana mereka belajar di universiti dalam bidang lain tapi bidang itu ditinggalkan dan kerja di bidang lain. Banyak aspek boleh dinilai pada komen ini tapi saya suka mengambil serius komen ini dan menilai diri saya sendiri.
Saya belajar dalam bidang pengajian Islam tapi saya tidak bekerja dalam bidang pengajian Islam. Sekarang saya bekerja dalam bidang media. Saya bukan tak suka bidang pengajian Islam tapi laluan kerjaya saya lebih terdorong dalam bidang media. Tapi pada masa sama, kerjaya sekarang memang memerlukan kepakaran dalam bidang agama. Banyak isu semasa memerlukan sudut pandang agama.
Walaupun saya tidak menjadi pakar bidang agamanya, setidaknya saya memiliki asas dan saya tahu di mana nak rujuk jika ada kekeliruan dalam sesuatu perkara.
Berbalik kepada isu penguasaan ekonomi Israel hari ini, sudah pasti ia tidak berlaku dalam masa singkat. Semuanya dirancang dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh lalu mereka menuai hasilnya dalam masa panjang.
Oleh itu, kita juga boleh lakukan perkara sama untuk berjaya menguasai dunia. Perbetulkan perkara asas, kemudian lakukan perkara strategik untuk mendapatkan hasil yang betul dan berkesan.
Hilang 2.7 kg dalam masa kurang sebulan
Ya, pagi tadi saya menimbang berat badan dan bacaannya ialah 70.0 kg. Pada 23 Oktober lepas, berat saya 72.7 kg. Jadi, saya perlu timbang sekali lagi pada 23 November untuk dapatkan bacaan dalam tempoh 1 bulan. Dalam tempoh ini, saya lakukan larian harian. Saya juga lakukan OMAD.
Larian ini tidak tetap jarak dan masa lariannya. Bergantung kepada situasi semasa. Namun, saya memang betul-betul berlari setiap hari. OMAD pula bukanlah OMAD yang betul-betul OMAD setiap hari. Ada hari saya makan lebih daripada sekali. Tapi saya kira juga sebagai OMAD supaya saya terus bergerak dan dapat meneruskan momentum.
Saya berhajat mencapai berat badan ideal iaitu 58 kg atau 60 kg. Ada lagi 10 kg yang perlu dibuang. Saya tidak tergesa-gesa untuk membuang 10 kg ini. Saya berikan masa pada diri saya. Saya nakkan perasaan suka dan enjoy dengan aktiviti harian saya iaitu berlari dan OMAD.
Saya juga nak sihat. Bacaan gula normal, bacaan asid urik juga normal, bacaan kolestrol juga normal. Saya risau jika saya dapat penyakit kencing manis, gout, darah tinggi, sakit jantung dan lain-lain. Sebelum penyakit datang menyinggah, adalah lebih baik sekiranya saya amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan sihat. Apabila sakit menjelma, saya tak mahu perasaan menyesal turut muncul.
Al-Quran sebagai rutin harian
Semalam saya ada menulis satu rutin pagi yang perlu saya lakukan untuk menambah baik keadaan diri saya. Hari ini saya sudah membuat keputusan iaitu menjadikan Al-Quran sebagai aktiviti wajib saya setiap pagi. Esok pagi saya akan mulakan aktiviti berkaitan Al-Quran seperti tilawah, menghafaz, mengulang hafazan, membaca tafsir, mentadabbur dan menulis apa-apa dapatan dalam masa sekurang-kurangnya lima minit setiap pagi.
Saya membayangkan saya akan suka bangun awal untuk membuat aktiviti al-Quran selama lima minit sahaja. Namun, saya perlu lakukannya setiap hari untuk menjadikan diri saya lebih baik daripada sebelum ini.
Bukanlah saya tidak pernah membaca, menghafaz Al-Quran sebelum-sebelum ini. Pernah tapi tidak konsisten.
Penutup
Setakat ini sahaja perkongsian saya hari ini. Semoga ada manfaatnya. Sekian, terima kasih.
Firdaus.
1.29 tengah hari.
14 November 2023.
Bandar Baru Bangi.