Kuasai media, kuasai negara

Apabila kita bercakap soal media, sebenarnya kita bercakap soal kuasa. Ramai melihat media sekadar laporan berita, penerbitan video, pengiklanan dan lain-lain dalam ruang lingkup sempit, sedangkan industri media sangatlah besar hingga menjadi rebutan pihak yang mahu menguasai negara.

Saya tidaklah menafikan isu ekonomi dan perniagaan juga amat berkait rapat dengan dunia media. Bahkan syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Meta, Apple sememangnya telah mengaut keuntungan berbilion ringgit hasil perniagaan media.

Dalam konteks kuasa politik, pihak yang mempunyai pegangan kuat pada media arus perdana akan mendominasi kandungan yang disiarkan seterusnya boleh mempengaruhi sebilangan besar penonton dan pengguna.

Ada pihak menganalisis pola pengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu lepas dengan mendakwa pihak kerajaan menang disebabkan jentera media kerajaan manakala pihak pembangkang mendapat banyak undi golongan muda kerana mereka berpengaruh di platform media sosial.

Ini antara senario semasa yang saya ungkapkan secara ringkas bagi membayangkan pengaruh besar media dalam konteks kuasa. Semakin ramai pengguna dan penonton sesuatu platform, semakin besarlah pengaruhnya. Untuk menarik lebih ramai penonton, semakin besar dana diperlukan bagi menghasilkan kandungan dan melaksanakan strategi pemasaran.

Saya tinggalkan pembaca sekalian dengan persoalan-persoalan berkaitan industri media secara rawak. Adakah kita (orang Melayu Islam) akan kekal menjadi pengguna atau kita mahu menjadi pemilik platform media? Pengguna hanyalah pengguna manakala pemilik platform adalah penentu polisi siaran kandungan.

Adakah kita akan berusaha keras menjadi pencipta kandungan berkualiti yang menepati naratif kita? Adakah khutbah Jumaat akan bising menasihati umat mengenai bahaya media sosial atau akan bising membangkitkan umat membina kekuatan media bagi mengembalikan kuasa dunia ke tangan umat Islam?

Fikir-fikirkan.

Nota: Pertiwi adalah satu jenama agensi berita yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran melangkaui politik kepartian.

Firdaus.
www.askfirdaus.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *