All eyes on Rafah!

GENOSID bermaksud penghapusan sesuatu bangsa atau kaum. Apa yang berlaku di Gaza, bukan lagi peperangan, tetapi genosid.

Meskipun umat Islam di Gaza dan Tebing Barat memiliki kekuatan ketenteraan sendiri dan terus melawan hingga sekarang, keadaan hari ini langsung tidak menggambarkan peperangan, sebaiknya usaha penghapusan rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel dan disokong oleh sekutu mereka Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain.

Saya pernah pergi ke kawasan Rafah, Mesir dan melihat dari jauh pagar sempadan yang memisahkan Mesir dan Palestin. Rafah ada dua, Rafah di Mesir dan Rafah di Palestin.

Keadaan di Rafah sekarang amat getir. Nyawa saudara seakidah kita seolah-olah tidak bernilai. Tentera Israel sudah hilang kewarasan.

Tekanan dari seluruh dunia kian memuncak. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh semua pihak. Situasi masih belum berubah, bahkan menjadi lebih teruk. Lebih 37,000 nyawa umat Islam melayang sejak tujuh bulan lalu.

Saya teringat satu hadis Nabi yang bermaksud, “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa, pangkat, pengaruh). Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan (mulut, khutbah, ceramah). Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan hati. Itulah selemah-lemah iman.”

Sebagai rakyat biasa, kita hanya mampu menulis, menyampaikan maklumat, memboikot syarikat pro-Israel dan apa-apa yang kita mampu.

Bagi pihak berjawatan tinggi seperti ketua negara, kita harapkan tindakan lebih tegas dilakukan. Ketika Perang Israel-Mesir dahulu, Arab Saudi memberi tekanan dengan menghentikan bekalan minyak kepada Amerika Syarikat. Hasilnya, peperangan berakhir.

Setiap masalah, mesti ada jalan keluar, jika kita betul-betul berusaha.

Firdaus
Askfirdaus.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *