Dua tugas besar Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Kesembilan

TAK sampai sembilan bulan Tan Sri Muhyiddn Yassin menjadi Perdana Menteri Kelapan, sudah terdengar pihak mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Kesembilan.

Pada 13 Oktober 2020, kira-kira jam 11 pagi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Anwar mengadap baginda.

Dalam kenyataan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Anwar hanya menyatakan beliau mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen, namun tidak membawa senarai mereka yang menyokongnya.

Hari ini, 12 Februari 2021, meskipun tidak memiliki sokongan majoriti, Tan Sri Muhyiddin masih lagi memegang jawatan perdana menteri. Sekurang-kurangnya sehingga bulan Ogos, selepas darurat ditamatkan.

Berbalik kepada tajuk di atas, adakah Anwar Ibrahim berpeluang menjadi Perdana Menteri Kesembilan?

Pada pandangan saya, beliau masih berpeluang kerana ruang itu masih ada. Selepas pandemik Covid-19 reda, Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan. Pastinya, bukan pada masa terdekat.

Persoalannya, pada PRU15 nanti, adakah Pakatan Harapan akan diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat? Sekiranya ya, Datuk Seri Anwar boleh naik jadi PM9.

Akan tetapi, ada persoalan yang lebih penting lagi, adakah Datuk Seri Anwar akan menjadi Ketua PH? Iaitu keadaan sama seperti Tun Dr Mahathir menjadi Ketua PH pada PRU14.

Adakah pemimpin parti DAP, PAN, Warisan, Pejuang dan Muda bersetuju Anwar mengetuai mereka?

Bagaimana pula dengan manifesto pilihan raya PH? Apakah pula janji-janji manis yang akan ditabur demi menambat hati pengundi?

Ada dua kerja besar yang perlu diselesaikan oleh Datuk Seri Anwar untuk menjadi PM9 dengan melalui ‘jalan hadapan’ iaitu PRU15, setelah usaha ‘jalan belakang’ dengan mempersembahkan ‘nombor’ sokongan majoriti kepada Istana Negara tidak menjadi.

Pertama, Datuk Seri Anwar perlu menjadi ketua PH yang betul-betul mendapat sokongan tidak berbelah bahagi di kalangan parti komponen.

Sebelum ini, semua sedia maklum hanya Tun Dr Mahathir yang terang-terang menolak Anwar. Namun, selepas Anwar mengumumkan beliau memiliki sokongan majoriti termasuk di kalangan pemimpin UMNO, kepimpinan Anwar mula diragui. Hasilnya, Mad Sabu dan Lim Guan Eng telah membuat satu kenyataan bersama tanpa memaklumkan Anwar terlebih dahulu.

Adakah Anwar telah menyelesaikan pertikaian ini?

Kedua, Datuk Seri Anwar perlu membawa PH ke posisi yang diterima majoriti pengundi PRU15, yang lebih baik berbanding PRU14.

Kini, rakyat sudah cukup terbeban dari segi ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda. Perikatan Nasional yang mesra Melayu-Islam, semakin robek imejnya gara-gara rakyat terseksa dan terbeban disebabkan ekonomi.

Inilah masalah sebenar yang perlu diberi perhatian sama ada di kalangan ahli politik kerajaan mahupun pembangkang.

Jika Anwar mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik, maka tidak mustahil rakyat akan terus mengundi PH. Tapi, awas, jangan hanya pandai berjanji dan akhirnya memungkiri.

Jika dahulu rakyat dijanjikan penghapusan GST, namun janji dicapati dengan pelaksanaan semula cukai SST.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
8.33 malam
12 Februari 2021
Kampung Pandan, KL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *