Panggilan azan dan panggilan pelanggan

PANGGILAN pelanggan sentiasa dinanti oleh peniaga.

Tak kira sama ada panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS), mesej di aplikasi Whatsapp, emel, inbox di Facebook dan sebagainya.

Apabila kita menerima panggilan pelanggan, ini menandakan jualan akan berlaku.

Apabila jualan berlaku, ia akan menambahkan kutipan jualan syarikat.

Tetapi, pernah tak berlaku satu situasi di mana azan telah berkumandang dan anda berlengah-lengah untuk bersiap-siap ke masjid menunaikan solat fardu?

Dan tiba-tiba ketika itu telefon berdering menerima panggilan pelanggan yang mahu berurus niaga dengan anda?

Dan ketika itu jugalah anda bersegera menyahut panggilan pelanggan dan bertindak melakukan itu dan ini bagi menyempurnakan tempahan atau jual beli berkenaan.

Tanpa disedari, anda sebenarnya telah mengabaikan seruan azan dan mengutamakan panggilan pelanggan!

Pernah tak lalui keadaan ini?

Saya sendiri pernah melaluinya dan saya rasa amat menyesal dengan perlakuan saya.

Saya tahu bahawa mendahulukan solat adalah lebih utama daripada perkara lain. Tapi saya tak mengamalkan apa yang saya tahu.

Tambahan pula, urus niaga itu bukan tidak boleh ditangguh sebentar. Boleh saja kalau kita mahu. Pandai-pandailah kita membuat ayat memberitahu pelanggan bahawa kita akan menyambung perbualan selepas selesai solat.

Sejak kejadian itu, setiap kali mendengar azan, saya akan cuba bersegera bersiap sedia menunaikan solat. 

Kerana saya faham akhirat adalah lebih utama daripada dunia.

Tetapi dunia itu dihias dengan keindahan sehingga sesiapa pun boleh tersilau dengan pandangan dunia.

Moga Allah menjadikan kita orang yang mengutamakan solat di awal waktu, mengatasi urusan yang lain.

#Tazkirah
#TarbiyahDakwah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *