KEMAHIRAN ASAS PERLU ADA UNTUK BERNIAGA

APABILA saya bersembang-sembang dengan orang yang tidak pernah berniaga mengenai perniagaan, kebanyakannya tertumpu kepada isu modal.

Reaksi balas saya dalam isu modal ini ialah modal ada dalam pelbagai bentuk. Modal insan paling utama.

Elakkan mengeluarkan modal besar untuk membeli bahan mentah atau produk dalam jumlah besar (borong), kemudian kita hilang akal ke mana kita ingin menjualnya.

Di sinilah kerisauan mereka mengenai modal. Takut rugi. Betullah.

Akan tetapi, selain modal, banyak lagi isu lain yang perlu difikirkan. Berikut saya senaraikan beberapa kemahiran yang perlu ada bagi seseorang itu berjaya dalam perniagaan.

Tak semestinya kena jadi hebat dalam kemahiran-kemahiran ini dahulu baru boleh berniaga.

Tak semestinya juga kita terlalu lemah dalam kemahiran ini sehingga langsung tidak boleh berniaga.

Bagi saya, kemahiran-kemahiran ini adalah asas kejayaan bagi sesiapa pun tak kiralah berniaga atau tidak. Boleh dipelajari sikit-sikit perlahan-lahan.

1. MENETAPKAN VISI DAN MISI SYARIKAT

Apa kita nak jadi 10 tahun akan datang. Apa perlu kita capai sehingga akhir tahun ini. Apa perlu kita buat setiap hari yang membuktikan ia sebenarnya membawa kita ke arah apa yang kita mahu 10 tahun lagi.

Ini memerlukan ilmu dan kemahiran.

2. PENGURUSAN MASA

Semua orang ada 24 jam sehari. Tapi ada orang betul-betul produktif. Ada orang duduk termenung berjam-jam tak tahu apa yang perlu dia lakukan.

Usahawan perlu bijak memanfaatkan masanya kerana 1 saat baginya terlalu berharga berbanding 1 saat di sisi orang lain.

3. PENGURUSAN KEWANGAN

Duit keluar masuk tiap hari, tiap minggu dan tiap bulan. Perlu ada rekod catatan. Perlu ada muhasabah kenapa berbelanja itu, berbelanja ini. Perlu ada anggaran berapakah perbelanjaan bulan depan.

Silap hari bulan, jika kita mengabaikan aspek kewangan, kita tak sedar tiap bulan kita sebenarnya lebih banyak berbelanja daripada menyimpan.

4. KOMUNIKASI BERKESAN

Kita bergaul dengan bermacam jenis manusia. Pelanggan, pekerja, rakan niaga dan sebagainya.

Ada mesej yang perlu kita sampaikan. Mesej itu perlu sampai dalam keadaan baik supaya reaksi balas yang kita harapkan dilakukan sesempurna mungkin.

Kita mahu memujuk pelanggan mengambil perkhidmatan atau membeli produk kita. Tapi tersalah cara. Bahaya. Boleh jadi bukan dia seorang tak membeli dengan kita, seluruh rakan dan kenalannya juga akan mengelak daripada berurus niaga dengan kita.

Sebaliknya, jika kita pandai mengayat, memujuk, kita akan dipuji dan akan dipromosikan secara percuma tanpa kita sangka.

5. MENGAWAL EMOSI

Hidup adalah ujian. Usahawan juga tidak terlepas daripada ujian. Ujian akan mengganggu emosi.

Emosi yang tidak dikawal akan merosakkan. Kita perlu tenang-tenang saja apabila berhadapan krisis. Apabila rugi beribu ringgit atas kesilapan diri sendiri atau kakitangan, bertenang dahulu. Ambil wuduk, solat dua rakaat.

Fikir apakah pilihan yang kita ada untuk menyelesaikan masalah. Gariskan kebaikan dan keburukan jika sesuatu langkah diambil. Cari jalan terbaik.

6. CEPAT BELAJAR / CEPAT TANGKAP

Banyak perkara sama yang berulang dalam proses perniagaan kita. Berhubung dengan pelanggan, proses penyediaan produk dan sebagainya.

Sediakan SOP dan ikut. Kemas kini SOP bergantung keadaan semasa.

Cepat-cepat sedar sesuatu cara itu salah atau cara ini betul. Buat perubahan segera.

Kalau dah tertipu dengan pelanggan disebabkan sesuatu kelemahan, buat ketetapan baru agar tidak tertipu lagi. Begitulah seterusnya.

7. MENIRU ORANG BERJAYA

Banyak tip dan perkongsian percuma di akhbar, majalah, buku internet dan media sosial. Pesan saya, hati-hati memilih nasihat, mungkin ia tak sesuai dengan kita.

Tapi tak salah mencuba dan meniru apa yang baik. Contohnya, orang berjaya suka bersembang di FB Live. Berkongsi cerita itu dan ini.

Kita pun boleh lakukan benda sama. Tapi mesti tahu, kenapa FB Live perlu dibuat? Apakah alasan di sebaliknya? Adakah sekadar suka-suka?

Boleh jadi mereka mahu mengumpul pengikut. Membina kepercayaan. Merekrut agen dan sebagainya.

Kita? Kalau nak tiru, tirulah tapi kena faham kenapa.

8. MOTIVASIKAN DIRI SENDIRI

Apabila kita jatuh, kita mesti bangun. Apabila kita ditipu, kita mesti mempertahankan hak. Apabila kita rasa sempit, kita mesti tahu jalan keluar, kembali kepada Allah dan usaha cari jalan. Apabila kita rasa cukup dan rasa selesa, berhati-hati, paksa diri mengembangkan potensi untuk pergi lebih jauh lagi.

Diri kita, kita yang membuat keputusan. Orang lain, boleh cakap itu ini, boleh halang dan boleh tunjuk jalan. Akhirnya kita sendiri yang melalui dan merasai pahit manisnya.

Jadi, perlu ada tolakan yang kuat dalam diri. Perlu ada benda yang memotivasikan diri kita. Perlu ada magnet yang menarik kita untuk bertindak ke arah kejayaan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, banyak lagi ilmu dan kemahiran yang perlu kita belajar. Lain orang, lain bidang, lain caranya.

Sebab itu, sesi teh tarik atau mengeteh tak pernah putus di kalangan komuniti usahawan. Mereka bukan sembang kosong. Mereka berkongsi idea, ilmu, pengalaman dan kemahiran.

Jangan takut apabila ada orang bisnes ajak mengeteh, jangan fikir ia membuang masa. Kita bukan bincang duit sahaja. Kita berjumpa untuk belajar antara satu sama lain dalam banyak perkara.

Setakat ini sahaja perkongsian kali ini. Kongsikan jika bermanfaat.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
www. askfirdaus.com
www.ismaweb.net
www.carrentalampang.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *