Bisnes Bantu Orang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bertemu kembali di blog ini. Saya berhajat nak berkongsi sedikit berkenaan impian saya ketika mula bisnes.

Antara nasihat yang saya terima daripada jurulatih-jurulatih keusahawanan ialah niatkan bisnes yang kita buat itu akan dapat membantu ramai orang.

Selain menawarkan manfaat melalui barang dan perkhidmatan, kita juga boleh bantu orang lain dengan memberikan nasihat dan panduan. Sebab itu saya menulis di blog ini.

Kita juga boleh membantu dengan meringankan beban orang lain dari sudut kewangan. Bayar zakat, sedekah, bayar gaji kakitangan, semua ini termasuk dalam ‘bantu orang’.

Apabila kita dapat membantu orang, kita akan gembira. Gembira bantu orang tidak sama dengan gembira dapat duit untuk diri kita sendiri. Apabila duit jualan masuk, memanglah kita akan gembira. Tapi kalau kita sertakan niat nak bantu orang lain dengan duit itu, kita akan rasa bertambah gembira. Percayalah.

Kata nasihat lain yang saya pegang juga ialah tak akan rugi orang yang bersedekah. Jangan tunggu kaya baru nak memberi. Berilah walaupun sedikit.

Saya sendiri berfikiran sebelum memulakan bisnes dahulu, saya cakap pada diri, saya perlu buat bisnes untuk tambah pendapatan. Untuk bayar itu ini, kerana gaji saya ketika itu memang tak cukup untuk tampung semua perkara. Saya perlukan duit. Saya mesti lakukan sesuatu. Akhirnya saya berniaga dan saya gembira dapat duit.

Akan tetapi, lama kelamaan, saya dinasihatkan juga untuk membantu orang lain dengan duit kita itu. Dalam 10 ringgit yang kita dapat, kita asingkan 1 ringgit untuk tabung masjid, contohnya. Kita masih ada 9 ringgit dan kita tetap gembira juga. Bahkan kita sudah sedekah 1 ringgit untuk masjid, ini membuatkan kita lebih gembira.

Kemudian, kita akan berfikir bahawa, kalau aku untung 1,000 ringgit, aku boleh sedekah 100 ringgit untuk masjid. Begitulah seterusnya.

Dengan niat memberi dan membantu orang, secara tidak langsung, kita akan termotivasi untuk bantu lebih ramai orang dengan lebih banyak RM nya.

Jadi, nampak tak apa yang saya nak sampaikan sekarang? Ya, tambahkan niat bantu orang dalam niat kita dan tujuan kita berniaga. Insya-Allah kita akan nampak jalannya.

Sekian, terima kasih. Kongsikan jika bermanfaat.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
AskFirdaus.com
CarRentalAmpang.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *