Menulis Setiap Hari: Hari Ketiga

Bismillah.
Bersyukur kepada Allah atas segala nikmat.

Gaza dan Palestin

Pagi ini saya bangun dengan membaca berita-berita sedih berkenaan saudara seakidah di Gaza. Serangan masih berlangsung. Ramai menjadi korban termasuk wartawan. Hospital juga menjadi sasaran. Saya tidak boleh membayangkan keadaan ini terus berlaku dan pihak-pihak berkuasa dunia dan negara Islam tidak mampu berbuat apa-apa. Lemahnya kita menentang Zionis Israel, Amerika Syarikat dan kuncu mereka.

Saya faham perkara ini berlaku bukan sia-sia. Ia menguji kita sama ada kita telah benar-benar berusaha atau tidak. Adakah kita berusaha sesuatu membantu mereka atau tidak. Atau kita masih sibuk dengan urusan kita sahaja tanpa ada sedikit perasaan dan usaha untuk membantu mereka.

Insya-Allah kita akan tidak putus idea dan keringat untuk menyumbang sesuatu yang termampu untuk isu Palestin.

Larian 10.7 km

Alhamdulillah hari ini saya berjaya lari sejauh 10.7 km demi Palestin. 10.7 km ini bersempena tarikh serangan Taufan Al-Aqsa iaitu 7 Oktober 2023.

Disebabkan kelewatan bermula, saya menamatkan larian jam 10 pagi dalam keadaan matahari sudah panas terik. Baiklah, lain kali kalau nak lari jauh-jauh, saya kena bermula lebih awal, sesudah Subuh.

Kereta Sewa

Hari ini pada petang nanti, sepatutnya saya akan menerima semula tiga buah kereta yang saya serahkan kepada sebuah syarikat. Akibat lambat bayar sewa, saya meminta syarikat itu pulangkan semula kereta yang mereka ambil. Katanya, petang ini akan dikembalikan tiga buah kereta manakala satu lagi akan diserahkan setelah selesai kerja baik pulih di bengkel.

Harap-haraplah semuanya berjalan baik petang ini, bukan lagi sekadar janji manis, janji kosong sahaja.

Dengan itu, saya akan memulangkan semula satu Bezza milik saudara, satu lagi Bezza milik seorang Cina. Satu lagi Bezza saya urus sendiri untuk dibuat sewa kerana pemiliknya berada di luar negara.

Kereta Myvi yang masih ada dalam bengkel akan dijual. Senang cerita.

Selagi ada kereta, selagi itulah risiko masih ada. Saya sudah penat nak menghadapi pelbagai risiko. Selepas ini, bisnes kereta sewa masih berjalan kecil-kecilan dan diharapkan saya berjaya mengawal risiko-risiko yang ada. Kalau tidak, memang kena tutup terus 100 peratus.

Al-Quran

Semalam saya mengulang hafazan Surah Al-Mursalat. Pada hari ini, saya akan mengulang Surah Al-Insan dan Surah Al-Qiyamah. Saya perlu tetap mengulang walau sedikit.

Berhenti minum air manis

Saya sudah tonton banyak video dan baca banyak artikel yang mencadangkan mereka yang ingin turunkan berat badan supaya berhenti meminum air manis dan digantikan dengan air kosong.

Saya sendiri masih belum berjaya berhenti sepenuhnya. Saya hanya boleh kawal diri untuk minum sekali sehari sahaja. Ya lah, sebab saya amalkan OMAD. Untuk OMAD, air manis boleh minum ketika eating period sahaja. Selain itu, hanya boleh minum air kosong kalori seperti teh hijau dan kopi hitam.

Saya perlu yakin diri dan berani untuk berhenti minum air manis untuk dapatkan keputusan lebih baik dan juga untuk kesihatan saya. Air manis sebenarnya tidak boleh hilangkan dahaga. Selama ini, kita tertipu dengan iklan dan emosi kita terhadap minuman manis.

Tengoklah esok bagaimana. Saya akan tetap cuba untuk berhenti seketika minum air manis.

Penutup

Sekian sahaja tulisan saya hari ini. Sedikit sebanyak dapat meluahkan apa yang terbuku di minda. Esok saya ada kelas Management Accounting. Kemudian ada jamuan Hari Keluarga geng Surau Rukun Tetangga (SRT) Pandanmas 2. Sebelah petang, saya akan ke Sungai Besar untuk peperiksaan kemasukan MRSM pada hari Isnin pagi.

Firdaus.
11.43 pagi.
4 November 2023.
Kampung Pandan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *